Pages

Monday, March 26, 2018

[LIPIS] 10 JPP DAERAH SERTAI LATIHAN BOMBA



10 JPP daerah sertai latihan bomba



Seramai 65 ahli Mybomba daripada 10 Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) daerah ini menyertai latihan praktikal kebombaan bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah Lipis.

Antara kemahiran yang diajar ialah teknik menyelamat mangsa kebakaran, kawad hos dan penggunaan alat pemadam api yang dikendalikan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lipis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lipis, Penolong Penguasa Bomba Haslizan Ramli berkata, ahli Mybomba JPP akan diberi pendedahan dan latihan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka termasuk penyertaan dalam kalangan belia.

“Usaha ini sebagai menyahut saranan kerajaan bagi melahirkan lebih ramai tenaga sukarela yang boleh digerakkan pada bila-bila masa saja.

“Kemahiran menyelamat ini penting sebagai persediaan sukarelawan Mybomba JPP yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai kecelakaan yang membabitkan masyarakat setempat,’’katanya sempena program berkenaan di sini, kelmarin.

Bagi ahli Mybomba JPP Zon 2, Hairul Ni’man Mohd Amran, 30, penyertaan dalam program itu membolehkannya memperoleh kemahiran membabitkan usaha menyelamatkan nyawa dalam kecelakaan iaitu kebakaran.

"Sebagai anggota NGO yang mengurus kebajikan komuniti setempat, saya perlu mendalami kemahiran ini walaupun pernah menyertai pasukan menyelamat di sekolah dahulu.

“Kita juga berharap bomba Lipis dapat melanjutkan latihan kemahiran menyelamat di peringkat tinggi agar ilmu ini boleh disebarkan kepada ahli Mybomba JPP lain,”katanya.

Seorang lagi peserta, Aslini Mohamad, 27, berkata, latihan kemahiran itu menyeronokkan dan mencakupi semua bidang latihan pasukan sukarela beruniform lain.

"Saya tidak wajar duduk diam di rumah dan memilih menyertai Mybomba JPP untuk mengisi masa lapang dengan bergiat dalam beberapa latihan kemahiran.

"Lagipun, tugas sebagai sukarelawan mendidik kita lebih berdisiplin dan menjadi warganegara yang prihatin dengan aspek kemanusiaan,’ katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor