Seorang warga emas yang bimbang dia akan dipenjarakan kononnya terlibat dengan kes dadah dan pengubahan wang haram, mengalami kerugian sehingga RM35,600 akibat terpedaya ditipu sindiket Macau Scam, Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 68 tahun itu mengikut segala arahan diberikan kepadanya kerana takut dipenjarakan dan di reman pihak berkuasa.
Menurutnya, mangsa yang merupakan seorang peniaga itu telah dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai Encik Fauzi dari Hong Leong Bank Taiping, Perak.
“Suspek berkenaan memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan bayaran pinjaman peribadi yang banyak sehingga jika gagal melunaskan akan diambil tindakan.
“Setelah mangsa menafikan perkara berkenaan panggilannya telah disambungkan ke IPK Perak dan bercakap dengan seorang lagi suspek yang menyamar sebagai Inspektor Yong.
“Hasil semakan dengan polis mangsa dikatakan turut terbabit dengan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Dalam pada itu, kata Mohd Wazir, suspek kemudian menggertak untuk menangkap mangsa sebelum meminta warga emas berkenaan memasukkan wang ke dalam akaun yang didakwa milik Bank Negara bagi siasatan lanjut.
“Mangsa yang ketakutan kemudian memindahkan kesemua wang simpanannya berjumlah RM35,600 menggunakan perbankan internet ke dalam akuan diberikan suspek.
“Selepas memasukkan wang berkenaan, mangsa cuba menghubungi Inspektor Yong namun gagal.
“Disebabkan curiga dengan keadaan itu dan mula merasakan dirinya ditipu, mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam,” katanya.
Sementara itu, katanya, pihak polis segera bertindak memburu suspek dan terus menjalankan siasatan ke atas kes berkenaan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor