Pages

Wednesday, March 28, 2018

[KUANTAN] AH LONG TULARKAN KAD PENGENALAN PEMINJAM



Ah long tularkan kad pengenalan peminjam




Tindakan dua lelaki dipercayai ah long mengugut dan memalukan seorang peminjam menggunakan laman sosial Facebook membawa padah apabila mereka ditahan polis, semalam.

Kedua-dua suspek tersebut berusia 29 dan 20 tahun ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan selepas menularkan gambar kad pengenalan dan gambar anak-anak mangsa dalam Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa merupakan seorang ahli perniagaan berusia 57 tahun.

Menurutnya, mangsa membuat pinjaman dengan ah long sebanyak RM45,000 setahun lalu.

“Berdasarkan perjanjian, bayaran hutang berkenaan adalah sebanyak RM670 sehari. Disember lalu, mangsa berjumpa dengan ah long berkenaan dan menerima wang sebanyak RM45,000,” katanya.

Menurutnya, selepas memperolehi wang berkenaan, mangsa mendakwa membuat bayaran pinjaman seperti mana yang dijanjikan.

Bagaimanapun, katanya, Ahad lalu mangsa menerima mesej daripada rakan yang menyatakan gambar kad pengenalannya ditularkan dalam Facebook yang bernama Genie Rain.

“Gambar yang ditularkan itu turut diletakkan dakwaan yang mangsa tidak membayar hutang.

“Selain daripada itu, ah long berkenaan juga mengugut mahu mengapa-apakan mangsa sekiranya gagal membuat pembayaran.

“Mangsa juga tidak berpuas hati dengan tindakan ah long berkenaan yang juga menularkan gambar anak-anaknya di dalam Facebook,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Mohd Wazir berkata, mangsa membuat laporan polis di IPD Kuantan semalam kerana bimbang sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini kepada keluarganya.

“Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM250,000 dan maksimum RM1 juta atau boleh dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor