Banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini beberapa hari lalu boleh dianggap rezeki tengkujuh kepada nelayan sungai.
Kebiasaannya, nelayan di sini sama ada di Sungai Pahang atau Sungai Semantan akan memperoleh hasil tangkapan seperti ikan kerai, lampam, baung atau patin.
Namun bukan sahaja spesies ikan itu berjaya ditangkap ketika banjir tetapi juga ikan yang tinggal di tasik atau paya seperti toman dan haruan juga berjaya dinaikkan dengan menahan jaring di Sungai Pahang.
Nelayan, Mohd Shamsul Abd Majid 39, berkata, jika dahulu jarang sekali ikan-ikan seperti toman dan haruan ditangkap di sungai tetapi sejak kebelakangan ini sudah menjadi kebiasaan bagi nelayan menangkap spesies ikan itu.
“Biasanya toman dan haruan ini tinggal di habitatnya seperti paya dan tasik tapi apabila banjir, air Sungai Pahang akan melimpah masuk ke paya dan tasik menyebabkan ikan ini terlepas ke sungai.
“Haruan dan toman bersaiz besar biasanya menjadi tumpuan kerana saiznya selain daripada ia sesuatu yang luar biasa ditangkap di sungai. Ikan seperti ini ada juga dipelihara orang ramai di kawasan kolam persendirian dan terlepas ketika musim banjir,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi nelayan Mazlan Mohamed 36, berkata, biasanya ikan seperti toman dan haruan jarang menjadi pilihan pembeli sebaliknya hanya menjadi tumpuan kerana saiznya besar.
“Sejak beberapa tahun lepas, saya dan kawan akan ambil peluang pasang jaring pada musim banjir untuk menangkap ikan sungai seperti kerai, lampam dan baung.
“Spesies jelawat pun pernah ditangkap dan saya jual pada harga ratusan ringgit sekilogram ikut pasaran semasa tapi saya hanya jual ikan yang ditangkap di kampung saya di Teluk Ira bila tiba musim banjir.
“Kami tidak perlu jual ke pasar, biasanya pembeli akan datang ke sini mendapatkan pelbagai spesies ikan yang mereka mahu, biasanya kerai menjadi pilihan utama,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor