Pages

Tuesday, January 9, 2018

[TEMERLOH] PEMANDU TRELER ADA 17 REKOD SAMAN


Zundin



Pemandu treler yang merempuh pagar jambatan Temerloh lalu terjatuh dari ketinggian kira-kira 13 meter di sini pagi semalam mempunyai rekod 17 saman.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, dua daripada saman yang dikeluarkan terhadap pemandu itu belum dijelaskan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan polis mendapati pemandu lori treler terbabit mempunyai sebanyak 17 rekod kesalahan jalan raya atas pelbagai kesalahan termasuk memandu laju dan lebih muatan.

"Daripada 17 saman kepadanya sebanyak dua saman lagi belum dijelaskan," katanya semalam.

Dalam kejadian pagi semalam, seorang pemandu lori treler Mohamad Faridz Ridzuan Mahmood 42, nyaris maut apabila kenderaan dipandu merempuh pagar jambatan Temerloh lalu terjatuh dari ketinggian kira-kira 13 meter.

Zundin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, pemandu dari Kuantan dalam perjalanan ke kawasan perindustrian Temerloh setibanya di tempat kejadian telah terbabas dan melanggar besi penghadang jambatan dan jatuh kira-kira 13 meter ke bawah.

"Kemalangan ini berlaku kerana pemandu lori treler berkenaan dikatakan mengelak sebuah kereta yang memberi laluan kepada sebuah ambulans.

"Pemandu lori treler berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan serius, hanya luka-luka kecil dan dibawa ke hospital Temerloh untuk rawatan lanjut," katanya.

Zundin berkata, kejadian kemalangan seumpamanya itu adalah kali pertama berlaku di atas jambatan Temerloh.

Menurutnya, semasa kemalangan, lori treler tersebut tiada muatan kerana pemandunya baru lepas menghantar muatan papan lapis ke Pelabuhan Kuantan.

Katanya, pemandu beralamat di Mentakab di sini disiasat di bawah seksyen 42 (1) APJ 1987.

Katanya, tangkapan akan dibuat ke atas pemandu dan saringan awal air kencing akan turut dibuat.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor