Pages

Monday, January 8, 2018

PUSAT PEMINDAHAN BANJIR JADI ANAK ANGKAT AGENSI KERAJAAN




Pusat pemindahan banjir akan dijadikan 'anak angkat' kepada jabatan dan agensi kerajaan bagi membantu menyelaras gerakan menyediakan bantuan kepada mangsa banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata, jabatan dan agensi berkenaan berperanan menyalurkan bantuan awal serta menyediakan makanan kepada mangsa banjir bagi memastikan mangsa mendapatkan makanan mencukupi.

"Sebelum ini kerja menyelaras pembahagian bantuan diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), JKM dan mereka kadang kala menghadapi masalah kerana kekurangan kakitangan dan petugas.

"Apabila berlaku banjir, mangsa memerlukan tempat tinggal serta makanan yang berkualiti kerana dibimbangi mudah dijangkiti penyakit," katanya pada sidang media selepas melawat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di kampung Baru Pertanian, dekat sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Maran, Dato' Sri Dr Ismail Abdul Mutalib.

Shahidan juga berkata, kerajaan sentiasa prihatin dan berusaha menambah baik pengurusan bencana termasuk meningkatkan kelengkapan serta kesiapsiagaan pasukan menyelamat seperti APM.

"Bagi memastikan kerja menyelamat dapat dijalankan dengan lancar pengerusi bencana negara di peringkat daerah dibenarkan menyewa aset serta kemudahan yang diperlukan.

"Kerajaan akan melunaskan bayaran sewa sebaik sahaja banjir surut kerana tidak mahu menyusahkan kontraktor yang membekalkan kemudahan berkenaan," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor