Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) hari ini membantu memindahkan kira-kira 80 ekor lembu milik tiga penternak yang terperangkap berikutan banjir di sekitar kawasan ladang ternakan haiwan itu di Kampung Tanjung Medang di sini.
Ketua Bahagian Kesihatan Veterinar Pahang Noraihan Mohd Yasin @ Muhammad berkata seramai enam pegawai dan kakitangan JPV negeri terlibat dalam operasi yang bermula sejak 8 pagi setelah ditangguhkan beberapa kali hingga petang ini berikutan keadaan air semakin dalam.
“Kita terpaksa mendirikan pagar sementara terlebih dahulu di tepi jalan untuk memindahkan kesemua ternakan terlibat sebelum ia dibawa ke ladang ternakan esok dan operasi kali ni berhadapan sedikit kesukaran kerana bilangannya yang banyak selain air yang agak dalam,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Beliau berkata, pada setiap tahun JPV juga bersedia menghadapi bencana banjir seperti agensi lain dengan mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Haiwan Semasa Bencana negeri.
"Kita bertindak atas pemantauan dan siasatan yang dilakukan selain berdasarkan aduan yang diterima daripada penternak yang mengalami sebarang masalah berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, Noraihan turut mengingatkan penternak agar peka dengan persekitaran pada musim banjir terutamanya bagi kes yang berulang (kawasan biasa dilanda banjir) serta dapat memaklumkan keadaan ternakan mereka lebih awal supaya pihaknya dapat mengambil tindakan segera.
Seorang penternak Mazlan Ali berkata air naik dengan cepat sejak pagi semalam sehingga dua lagi rakan penternaknya tidak sempat mengalihkan ternakan mereka.
“Kami berterima kasih kepada pihak veterinar kerana membantu menyelesaikan masalah ternakan yang terperangkap akibat paras air naik dengan mendadak," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor