“Biarlah susah senang kami bersama dan saya akan menjaga adik-beradik lain sebab itu amanah terakhir arwah mak sebelum pergi".
Demikian luahan hati Normala Che Kamarudin, 22, dari Kampung Berchang di sini yang nekad menjaga enam adik-beradik lain setelah pemergian ayah, Che Kamarudin Che Leh pada bulan Mei lalu akibat penyakit jantung.
Lebih memeritkan apabila ibu tersayang, Rohani Ibrahim meninggal dunia pada 27 Disember lalu akibat pelbagai komplikasi penyakit termasuk jantung, paru-paru berair dan kencing manis.
Normala berkata, setelah pemergian kedua ibu bapa, dia perlu menggalas tugas menjaga enam beradik lain termasuk kakak sulung, Nurhayati, 23, yang kehilangan kaki kanan akibat penyakit kencing manis.
“Saya kerja di ladang timun dengan pendapatan lebih kurang RM800 sebulan dan dengan duitu itu saya guna untuk beli barangan keperluan harian dan tanggung keperluan adik-adik yang berusia dari 4 hingga 19 tahun.
“Gaji sedia ada memang tak cukup sebab empat adik saya bersekolah termasuk tiga daripadanya akan ambil peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) hujung tahun ini. Jadi perlu perbelanjaan banyak,” katanya di sini, semalam.
Normala (kiri) membantu adik-beradiknya menyiapkan kelengkapanpersekolahan di rumah mereka di Kampung Berchang, semalam.
Menurutnya, suaminya, Amin Fitri Ahmad Sabri, 23, yang turut bekerja di tempat yang sama bagaimanapun banyak membantu dan meringankan beban menanggung perbelanjaan rumah.
“Kalau saya pergi kerja, adik bongus Nur Syafika dihantar ke rumah ibu saudara Haiza Dalila Wah yang terletak bersebelahan rumah untuk dijaga sementara.
Minat dalam pertanian
Adik Normala, Muhamad Faiz, 17, berkata, pekerjaan ayahnya sebagai pemetik kelapa di sekitar kampung tersebut diambil alih sejak ayahnya itu meninggal dunia.
“Arwah ayah ada bela seekor beruk untuk memudahkan kerja petik kelapa tapi beruk tu sakit dan terpaksa dijual.
“Saya terpaksa buat kerja sampingan lain termasuk cari dan menangkap beruk di dalam hutan untuk dijual. Duit tu saya kumpul dan bercadang untuk membeli beruk baru yang pandai memetik kelapa,” katanya.
Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tengku itu berkata, dia sangat berminat dalam bidang pertanian dan bercadang untuk menanam lada di satu kawasan berhampiran rumah namun tidak mempunyai modal.
Jelasnya, sekiranya dia dapat mengusahakan tanaman lada terbabit sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban adik-beradik lain serta membantu Normala memenuhi keperluan dan perbelanjaan mereka sekeluarga.
Dalam pada itu, bapa saudara Normala, Che Sauli Che Leh berkata, jarak rumah mereka yang dekat memudahkannya untuk melihat dan sesekali menjenguk adik-beradik malang tersebut.
Tambahnya, dia juga runsing memikirkan keadaan dan keperluan semasa Nurhayati yang kini sedang menerima rawatan diHospital Lipis akibat kencing manis serta baru selesai menjalani pembedahan membuang nanah dari dalam perut.
“Arwah abang (Che Kamarudin) ada tinggalkan sebuah kereta tapi sekarang kereta tu dah rosak dan cukai jalan dahtamat tempoh.
“Jadi susah sikit nak bawa Nurhayati untuk berulang alik ke Klinik Kesihatan Padang Tengku untuk rawatan penyakit yang dihadapinya.Saya sendiri pun hanya bekerja kampung dengan pendapatan tak seberapa, jadi nak tolong banyak pun tak dapat,”katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Berchang, Azmim Teh berkata, pihaknya sentiasa prihatin dengan nasib yang menimpa tujuh beradik berkenaan.
Azmim (tengah) ketika menziarahi adik beradik tersebut di Kampung Berchang, semalam.
“Selain membantu membaik pulih tandas di rumah mereka dengan kos mencecah RM1,500 JKKK juga menyalurkan maklumat adik beradik ini kepada agensi berkaitan serta wakil rakyat setempat,” katanya'
Bantuan kepada Normala Che Kamarudin boleh dilakukan dengan memberi sumbangan melalui akaun CIMB Bank, 7066925603 atauBank Simpanan Nasional (BSN), 0600641000050904 atau hubunginya di talian 01125638189
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor