Beberapa buah rumah di Kampung Pasir Garam, Beserah di sini rosak akibat dilanda ribut dan hujan lebat kelmarin.
Mangsa yang ditemui, Mohd Suffian Harun, 41, berkata, sewaktu kejadian dia bersama tiga anaknya berada di ruang tamu manakala isteri, Roziah Ahmad Rosli, 32, tiada di rumah kerana ke sekolah anaknya.
Menurutnya, kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu menyebabkan sebahagian bumbung rumah di bahagian dapur tercabut.
“Nasib baik saya dan anak-anak berada jauh dengan dapur. Saya cepat-cepat keluar dari rumah kerana bimbang sebarang kemungkinan.
“Bahagian dapur basah kerana hujan berterusan dan kami sekeluarga terpaksa berpindah ke balai raya terdekat,” katanya ketika ditemui di sini.
Mohd Suffian bersama sembilan ahli keluarga yang lain termasuk keluarganya enam beranak berlindung di Balai Raya Pasir Garam sementara kerosakan dibaiki.
Sementara itu, bagi Jamilah Rakna, 49, pula, bahagian dapur rumahnya rosak dihempap pokok kuini yang turut memusnahkan kereta Proton Wira milik adiknya, Ramdzan Rakna, 44.
Katanya, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana berniaga di gerai makanan berdekatan.
“Hanya ibu, Che Wan Nor Che Wan Mansor, 82, bersama tiga anak saya ada di rumah ketika kejadian kira-kira jam 9 pagi.
“Kini mak trauma kerana dia melihat pokok kuini tersebut menghempap dapur kerana dia berada tidak jauh dari situ,” katanya.
Jamilah berkata, kejadian sedemikian adalah yang pertama berlaku sejak dia mendiami rumah berkenaan lebih 20 tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor