Pages

Tuesday, January 9, 2018

[KUANTAN] PENTERNAK IKAN RUGI RM15,000


Penternak ikan rugi RM15,000


Kejadian banjir yang berlaku minggu lalu menyebabkan penternak ikan air tawar Projek Ternakan Ikan Air Tawar Berkelompok Kampung Pandan 2 di Zon Industri Akuakultur (ZIA) mengalami kerugian apabila ikan yang diternak di bawa arus banjir.

Ketua Unit Projek Ternakan Ikan Air Tawar Berkelompok Kampung Pandan 2, Abdul Manaf Khalid Ahamad berkata, banjir yang melanda minggu lalu adalah di luar jangkaan.

Menurutnya, dia sudah membuat persediaan dengan memasang jaring setinggi satu meter.

“Bagaimanapun, kolam sedalam 1.5 meter itu ditenggelami banjir walaupun tidak ampuh sepenuhnya.

“Pada masa itu, jumlah ikan di dalam kolam mencecah 10,000 ekor dan sudah tiba masa untuk dijual dengan berat anggaran 1.5 hingga 2 kilogram (kg) ekor,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Manaf berkata, dia yang mempunyai dua kolam dengan ikan talapia gift, talapia dan patin tidak mampu berbuat apa-apa ketika banjir melanda.

Katanya, secara keseluruhannya, terdapat 43 kolam ikan air tawar bagi projek tersebut namun hanya 37 kolam yang aktif di miliki 18 pengusaha.

Sementara itu katanya, kawasan ZIA itu kini kurang diselenggarakan terutama melibatkan kawasan parit yang dipenuhi semak-samun.

“Semak-samun di kawasan kolam menyebabkan air tersekat untuk ke kolam. Ikan juga banyak yang mati kerana kurang oksigen.

“Pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil langkah menyelenggarakan kawasan ini dan perlu diberi perhatian yang sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini, penternak di projek itu sudah beberapa menyuarakan masalah bekalan air ke kolam itu yang bermasalah.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor