Kangar: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menegaskan calon Perdana Menteri daripada pakatan pembangkang mestilah individu yang boleh melakukan reformasi dalam sistem kenegaraan.
Bagaimanapun Azmin tidak memberikan jawapan jelas mengenai pendirian sebenar partinya, sama ada merestui pencalonan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai Perdana Menteri sementara.
"Kita sudah bincang yang mana calon itu boleh melakukan reformasi dalam sistem kenegaraan, itu yang penting," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jelajah Keadilan Peduli Rakyat di Taman Sri Firdaus, di sini, semalam.
Azmin berkata pihaknya sudah memberikan pandangan dalam Majlis Presiden pakatan pembangkang mengenai isu pelantikan perdana menteri yang mana akan diputuskan melalui persetujuan bersama.
"Perkara ini juga perlu mendapat pandangan dan maklum balas rakyat, di mana rakyat perlu diberikan kuasa untuk menentukan masa depan negara dan bukannya ditentukan oleh mana-mana individu.
"Saya percaya Pakatan Harapan berlapang dada untuk memastikan pertimbangan ini mendapat mandat daripada rakyat," katanya.
Mengenai saranan beberapa pihak yang mahukan beliau dilantik menjadi Perdana Menteri, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak menolaknya.
"Saya ini hanyalah pemimpin peringkat negeri sahaja, biarlah saya berkerja untuk Selangor," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor