Pages

Saturday, December 23, 2017

USIA BUKAN PENGHALANG


Usia bukan penghalang


Siapa sangka, hasrat untuk menyertai aktiviti lasak semenjak di bangku sekolah rendah akhirnya tercapai ketika memasuki usia lewat 40-an.

Malah bagi wanita seusianya, rata-rata hanya menumpukan kepada kerjaya dan urusan seharian keluarga.

Namun bagi Maimunah Shaari, 46, usia sebegini membuka ruang buatnya menyertai aktiviti yang diminatinya sejak kecil iaitu mendaki.

Menurutnya, dia juga tidak menyangka hasratnya itu hanya tertunai selepas usianya menginjak 46 tahun.

Menurutnya, pada asalnya diajak oleh seorang rakan, Emma Rejab, 44, yang mesra dengan gelaran Buluh untuk menyertai aktiviti mendaki terbabit.

“Dalam keadaan badan yang sudah semakin berusia ditambah pula kurang bersenam, saya sahut tawaran Buluh itu.

“Bukit pertama yang saya daki adalah Bukit Bongkok yang terletak di Kampung Ulu Cheka, di sini. Bermula dari situlah minat terhadap mendaki semakin mendalam,” katanya.

Rakan bagi semangat

Bercerita tentang pengalaman pertama kali mendaki, Maimunah atau lebih mesra dengan panggilan May berkata, dia mengambil masa yang lama untuk sampai ke puncak bukit.

Ibu empat anak ini berkata, keseluruhan bandannya sakit sekali gus melambatkan perjalanan yang menelan masa tiga jam.

“Mujurlah ada Buluh yang sentiasa memberikan kata semangat kepada saya. Walaupun, lambat sampai ke puncak tapi saya berjaya juga,” katanya.

Dari aktiviti pendakian itu, Maimunah diperkenalkan pula dengan kumpulan pendaki Pahang Hikers dan dari situ, dia bersama rakan-rakan lain mengambil keputusan menubuhkan kelab Jengka Team Hiker (JTH).

Berasal dari Felda Jengka 9, di sini, Maimunah berkata, hasratnya bersama kumpulan menubuhkan kelab terbabit bertujuan mengajak lebih ramai terutamanya anak Felda menyertai aktiviti mendaki.

“Kami sepakat nak buat kumpulan ini untuk anak Jengka dan sekitar Bandar Pusat Jengka. Makin hari, ahli kumpulan kami semakin bertambah. Sekarang sudah mencecah hampir 50 orang,” katanya.



Suami dan anak-anak menjadi pendorong semangat Maimunah mengejar minatnya dalam aktiviti mendaki walaupun telah menginjak usia 46 tahun


Mainumah dan kumpulannya juga telah melaksananya pelbagai aktiviti pendakian dan terbaharu, mereka telah mendaki Bukit Teresek yang terletak di Taman Negara Kuala Tahan, di sini.

“Itu merupakan pengalaman pertama saya mendaki Bukit Teresek dan juga turut mengambil peluang menelusuri Canopy Walk.

“Menyertai aktiviti ini dapat menangkis rasa gayat kita terhadap tempat tinggi dan dalam masa sama meningkatkan keyakinan diri. Selain itu, ia juga menyihatkan badan,” katanya.

Bagi Maimunah, melihatkan kerjasama dan saling membantu antara ahli kumpulan ketika mendaki menambahkan lagi rasa cintanya terhadap aktiviti pendakian.

“Kadang-kala suami dan anak akan turut serta dalam aktiviti ini. Saya amat berterima kasih kepada suami dan anak-anak kerana menyokong minat saya ini,” katanya.
Mahu tawan Gunung Tahan pada usia 50 tahun

Maimunah turut memasang impian untuk tawan Gunung Tahan dan meletakkan Gunung Tahan sebagai sasaran ketika dirinya menginjak usia 50 tahun pada 2020 nanti.

“Itu matlamat utama saya apabila mencapai usia 50 tahun dan berharap diberikan kesihatan yang baik untuk mencapai hasrat itu,” katanya yang telah mendaki tiga buah bukit dan sebuah gunung selain kerap mendaki Bukit Seladang dan melakukan aktiviti abseiling di Gua Kota Gelanggi, di sini.

Maimunah dalam pada itu turut mengajak lebih ramai wanita tanpa mengira usia untuk sama-sama menyertai aktiviti terbabit.

“Zaman sekarang, semuanya telah berubah. Wanita juga melakukan apa juga aktiviti yang dilakukan oleh kaum lelaki. Tidak kira berapa pun usia kita,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor