Pages

Saturday, December 23, 2017

[TIOMAN] JALAN AWAM TERHAKIS DIBADAI OMBAK BESAR


Jalan awam terhakis dibadai ombak besar


Hakisan yang berlaku di Kampung Air Batang akibat dibadai ombak besar pada musim bergelora kini telah mengakibatkan kerosakan pada jalan.

Kebanyakan kawasan terjejas adalah jalan awam dan dijangka boleh roboh jika tidak dibaiki dalam kadar segera.

Ketua Kampung Tekek, Zulkarnaini A Hamid berkata, pihaknya meminta pihak berkenaan menyalurkan bantuan segera bagi mengatasi masalah itu.

“Bagi bantuan awal kami mohon peruntukan membaiki dan menambak terlebih dahulu jalan ini selain tenaga kerja daripada pihak terlibat,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Khairur Rizal Ramli berkata, bantuan segera bagi kerja gotong-royong yang bersifat sementara oleh penduduk setempat bersama warga TDA akan diadakan pada petang ini (semalam) selepas solat Jumaat.

Menurutnya, semua kos gotong-royong itu akan ditanggung oleh Adun Tioman dan pihaknya, bagaimanapun ia adalah penyelesaian jangka pendek atau sementara sahaja.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, pihak TDA mengesyorkan kepada pihak berkaitan agar menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) sekiranya jalan berkenaan telah didaftarkan.

“Ia adalah peruntukan persekutuan kepada negeri, manakala geran adalah berdasarkan pendaftaran panjang jalan di lokasi selain memenuhi spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.

Khairur Rizal berkata mengikut rekod, Jalan Air Batang berkenaan telah didaftarkan di bawah Marris iaitu sepanjang 1.8 kilometer.

“Saya telah dimaklumkan oleh pihak berkenaan bahawa kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan pada tahun depan apabila peruntukan tiba,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor