Kuala Lumpur - Sensitiviti agama dan perkauman tidak patut dijadikan bahan politik, malah ia hendaklah sentiasa dipelihara apatah lagi ketika negara sedang bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun hadapan.
Naib Presiden UMNO Dato' Sri Hishammuddin Hussein dipetik berkata, keharmonian perpaduan yang dikecapi masyarakat Malaysia tidak sepatutnya diganggu gugat oleh pihak tertentu dengan mencetuskan gaya politik yang ekstrem dan melampaui batas.
“Ini telah menjadi fenomena ketika menjelang pilihanraya apabila ada pihak cuba mencetuskan sensitiviti perkauman dan agama. Perkara ini telah sering berlaku.
“Saya memberi amaran supaya semua parti politik tidak menggunakan politik perkauman dan agama yang melampaui batas sehingga menjejaskan keharmonian kehidupan masyarakat di negara ini ketika kita sedang menuju tibanya pilihanraya,” katanya dipetik BNBBC.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan itu berkata demikian kepada media sebaik sahaja selesai mengadakan lawatan kerja ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di Kuala Lumpur, pada Rabu.
Terdahulu, Hishammuddin telah meluangkan masa hampir sejam melawat dan memantau sendiri kemudahan serta perkhidmatan perubatan yang diterima anggota dan veteran ATM di hospital berkenaan.
Dalam ucapannya, beliau menjelaskan Kementerian Pertahanan dan ATM sedang merangka blueprint Pelan Transformasi Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera.
Katanya, Blueprint itu dirangka untuk memperkasa serta mempelbagaikan bentuk inisiatif berkaitan kemudahan dan perkhidmatan kesihatan untuk anggota dan veteran ATM serta keluarga mereka.
“Antara inisiatif khas yang bakal dilaksanakan di bawah Blueprint ini adalah membina lima buah Poliklinik ATM yang baharu, menaik taraf kelima-lima Hospital Angkatan Tentera dan membina Hospital Veteran ATM.
“Saya harap semua pihak berkepentingan beri perhatian serius dan saling bekerjasama rapat untuk jayakan setiap inisiatif di bawah Blueprint ini demi memastikan kebajikan anggota dan veteran ATM serta keluarga mereka sentiasa terpelihara,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor