Pages

Friday, December 29, 2017

NURUR IZZAH SENGAJA REKA PERSEPSI NEGATIF


Nurul Izzah Anwar


Kuala Lumpur - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ditempelak kerana cuba mewujudkan persepsi negatif kononnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan dilangsungkan dalam suasana tidak telus.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tindakan itu dipercayai bertujuan mengelirukan rakyat khususnya pengundi menjelang PRU-14

Menurut beliau, tuduhan Nurul Izzah kononnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan taktik kotor apabila menetapkan kategori skim anggota keselamatan dan kesihatan sebagai pengundi pos adalah strategi lapuk.

“Taktik yang digunakan Nurul Izzah itu sama seperti yang diterapkan pada PRU-13 lalu dengan membuat tuduhan kononnya ada 40,000 warga Bangladesh turut mengundi.

“Sampai sekarang pembangkang tidak pernah dapat memberikan bukti dan maklumat terperinci mengenai pengundi hantu ini, justeru saya cabar Nurul Izzah buktikan dengan maklumat terperinci,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menerusi satu laporan media mempersoalkan tindakan SPR menetapkan kategori skim anggota keselamatan dan kesihatan sebagai pengundi pos pada PRU-14.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad percaya pembangkang khususnya Pakatan Harapan yang diketuai DAP semakin gentar untuk menghadapi PRU-14 secara ‘gentleman’ berikutan perpecahan sesama sendiri.

“Seperkara lagi, pembangkang sudah kehabisan modal dalam memperjuangkan pilihan raya yang bersih selepas semua siri demonstrasi Bersih ternyata menipu rakyat kerana tiada satu pun tuduhan mereka dapat dibuktikan,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah juga senada apabila menyifatkan kenyataan Nurul Izzah itu sebagai strategi mereka untuk menimbulkan kebencian kepada kerajaan.

“Belum apa-apa lagi sudah wujudkan persepsi buruk kepada pembaharuan dilakukan SPR. Semua ini tiada tujuan lain melainkan hanya mahu menimbulkan keraguan serta mewujudkan kemarahan rakyat kepada SPR dan kerajaan,” ujarnya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor