Pages

Wednesday, November 22, 2017

[ROMPIN] CCTV RAKAM WAJAH LELAKI LARIKAN BARANG KEMAS




CCTV rakam wajah lelaki larikan barang kemas



Tindakan seorang lelaki melarikan dua utas barang kemas selepas meminta untuk melihat terlebih dahulu sebelum membeli berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Kejadian berlaku di sebuah kedai emas di Bandar Baru Kuala Rompin sekitar jam 12.20 tengahari, semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Azli Mohd Noor, berkata, barang yang dilarikan suspek masing-masing seutas rantai tangan emas bernilai RM6000 dan seutas rantai leher emas bernilai RM7000.

Menurutnya, pemilik kedai yang ketika itu berada di luar telah dihubungi oleh pekerjanya memaklumkan mengenai kejadian itu.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, suspek telah datang ke kedai emas ini untuk menjual beli emas dan meminta pekerja yang bertugas ketika itu supaya memberikan emas yang dipilihnya kerana mahu melihatnya terlebih dahulu.

"Selepas mendapat seutas rantai tangan emas dan rantai leher emas yang diminta, suspek terus melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Suprima berwarna putih," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Azli berkata, hasil siasatan awal mendapati semasa kejadian terdapat dua pekerja kedai berkenaan yang bekerja tetapi hanya seorang sahaja yang melihat kejadian.

Katanya, terdapat lapan buah CCTV di kedai berkenaan dan gambar yang berjaya dirakam adalah jelas selain menemukan lima cap jari.

"Berdasarkan rakaman CCTV yang diperoleh dan wajah suspek yang dirakam dengan jelas, kita sedang berusaha menjejaki suspek.

"Orang awam yang melihat, memiliki maklumat atau mengenali suspek boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Faiz Arshad di talian 019-9945141 atau terus ke balai polis berhampiran," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor