Kerajaan Pahang giat mempromosikan Cherating sebagai antara destinasi pelancongan utama di negeri ini dengan melakukan penambahbaikan termasuk soal penginapan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke kawasan peranginan itu.
Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsuddin mengakui berlaku penurunan jumlah kehadiran pelancong ke kawasan itu pada masa kini berbanding beberapa tahun lalu.
“Dahulu Cherating disebut sebagai ‘syurga’ dalam kalangan pelancong, namun kini keadaan sudah berubah… mereka kini mungkin inginkan penginapan yang lebih selesa sebab itu banyak hotel dan resort lama di kawasan itu kini menaik taraf kualiti perkhidmatan dan penginapan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Andasura Rabu (Pas-Beserah) berhubung impak daripada perbelanjaan dikeluarkan untuk mempromosi kawasan pelancongan bersempena Tahun Melawat Pahang 2017, pada persidangan Dun semalam.
Mohd Sharkar berkata, Cherating mempunyai jenama sendiri kerana selain mempunyai kawasan pantai yang cantik, di situ juga terletak resort Club Med pertama di rantau ini.
“Kita juga tidak ketinggalan mempromosikan Cherating ini sebagai ‘home of Nemo’ kerana di salah satu kawasan pantai di situ didapati kaya dengan hidupan marin dan ini menjadi kegilaan kepada penyelam termasuk dari luar negara,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Sharkar berkata, semua pihak yang berkenaan termasuk penggiat industri pelancongan perlu memainkan peranan untuk memastikan Cherating kembali gemilang dan menjadi tumpuan pelancong seperti suatu masa dahulu.
“Selalunya selepas kita membuat promosi, mereka yang ingin menempah penginapan di satu-satu kawasan akan melihat komen-komen diberikan pengunjung yang pernah tinggal di situ dan penarafan yang diberikan.
“Selalunya hotel atau tempat tinggal yang mendapat komen yang baik akan menjadi tumpuan… jadi kenalah jaga soal kebersihan, keselamatan, kesopanan dan kecekapan untuk tarik pelancong,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor