Rakyat Pulau Pinang berpuas hati dengan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan selepas negeri itu dilanda bencana banjir terburuk dalam sejarah pada minggu lalu.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya berkata, penduduk Pulau Pinang terutamanya di kawasan parlimennya bukan sahaja berterima kasih, malah berpuas hati dengan bantuan pasca banjir yang tidak putus-putus diterima daripada pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan.
“Saya berterima kasih dengan apa yang diberikan setakat ini oleh agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihak Angkatan Tentera Malaysia, Polis Di Raja Malaysia yang telah membantu penduduk di Parlimen saya menghadapi dugaan bencana banjir ini.
“Para NGO dan orang perseorangan juga ada menghulurkan bantuan dan kita ucapkan terima kasih kerana menunjukkan simpati dalam keadaan kita hendak pulih daripada bencana banjir ini,” katanya ketika dihubungi BNBBC.my portal, pada Jumaat.
Bagaimanapun menurut Shabudin, pihaknya sedang memastikan segala bantuan yang diberikan itu diterima oleh setiap mangsa banjir.
“Bantuan seperti, bantal, selimut, pakaian dan peralatan memasak telah diberikan kepada mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan.
“Saya juga memastikan supaya ia diberi sama rata dan tiada seorang pun mangsa banjir terkecuali daripada menerima bantuan ini,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa semua mangsa banjir yang ditempatkan sementara di pusat-pusat pemindahan banjir akan pulang ke rumah masing-masing esok.
“Jika cuaca baik dan tiada amaran hujan lebat, Insyallah pada petang esok semua akan pulang ke rumah masing-masing.
“Sekarang pun ada yang dah pulang ke rumah, ada juga yang pulang sekejap untuk mencuci rumah, tapi harapnya esok semuanya dapat pulang ke rumah masing-masing,” jelasnya.
Banjir yang berlaku awal pagi 5 November lalu telah mengorbankan 7 nyawa.
Banjir tersebut berlaku berikutan hujan luar biasa yang melanda negeri itu sejak petang 4 November.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor