Pages

Friday, November 24, 2017

[KUANTAN] 'SEBAB PERUBAHAN ANGIN MONSUN TIMUR LAUT'


'Sebab perubahan angin monsun timur laut'


Perubahan angin monsun timur laut merupakan faktor peningkatan jumlah pendaratan ikan di kawasan sekitar Pantai Beserah serta Pantai Batu Hitam di sini, dan bukan petanda kemungkinan berlaku tsunami.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman berkata, fenomena akibat perubahan angin monsun itu juga bukan perkara luar biasa dan berkemungkinan berulang pada April tahun depan.

"Ia fenomena biasa setiap tahun. Perubahan angin monsun ini akan membawa kawanan udang baring yang menjadi makanan kepada ikan seperti gelama dan selayang.

"Apabila udang itu terdampar di pantai, spesis ikan tersebut turut terdampar di situ…itu yang menyebabkan ikan jenis ini banyak dan mudah ditangkap nelayan," katanya selepas membuat tinjauan di Pantai Batu Hitam di sini, semalam.

Azahari berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penularan berita mengenai jumlah pendaratan ikan luar biasa di pantai itu sejak Selasa lalu, sehingga ada netizen mengaitkan perkara tersebut sebagai amaran tsunami.

Beliau berkata daripada pertemuannya dengan nelayan di kawasan berkenaan, mereka memaklumkan kejadian itu bukan perkara baharu kerana pernah berlaku semasa perubahan angin monsun sebelum ini.

Peningkatan pendaratan ikan dalam jumlah yang banyak itu dijangka tamat dalam tempoh beberapa hari akan datang apabila berlakunya ombak besar, katanya.

Azahari, bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa jumlah pendaratan ikan di kawasan itu mencecah 100 tan metrik kerana nelayan memaklumkan jumlah tangkapan ikan adalah sekitar dua hingga lima tan metrik sahaja.

"Jumlah tangkapan mungkin hanya 200 kilogram kerana aktiviti penangkapan ikan dilakukan sekitar dua batu nautika dari pantai," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor