Seramai 31 pemilik lot tanah yang terlibat dalam jajaran Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Ringlet, Cameron Highlands menerima pampasan berjumlah RM11.46 juta.
Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob berkata bagaimanapun tiada pampasan atau bayaran sagu hati diberikan kepada mereka yang menduduki tanah kerajaan secara tidak sah dalam kawasan tersebut.
Namun, beliau menambah kerajaan negeri tetap membantu mereka atas dasar kemanusiaan dan sedang mencari penyelesaian holistik berhubung masalah tanah di pusat peranginan itu.
"Jumlah permohonan yang kita terima lebih 4,000. Proses biasa pun memakan masa empat tahun. Tumpuan diberikan kepada mereka yang menduduki tanah tanpa suratan hak milik atau lesen pendudukan sementara (TOL) tapi mewarisi tanah daripada nenek moyang sejak 40 atau 30 tahun lalu.
"Ini yang kerajaan negeri bantu tidak kira sama ada bendera mereka BN atau DAP," katanya pada sesi penggulungan persidangan Dun Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, semalam.
Adnan berkata demikian bagi menjawab soalan Leong Ngah Ngah (DAP-Tanah Rata) yang ingin tahu bantuan yang telah dan akan disalurkan kepada mangsa projek Tebatan Banjir Sungai Ringlet termasuk mereka yang tidak mempunyai hak milik.
RTB Ringlet sepanjang 1.1 kilometer bermula pada Julai lalu dan dijangka selesai dalam tempoh 34 bulan, dengan kerja-kerja pengosongan kediaman selesai dilakukan pada 5 April lalu.
Projek itu apabila siap kelak membolehkan kelebaran Sungai Ringlet di kawasan itu yang sebelum hanya kira-kira enam hingga lapan meter ditambah sehingga 14 meter, sekali gus mengatasi masalah banjir kilat disebabkan limpahan air deras dari hulu sungai.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor