Pages

Monday, November 27, 2017

[KUANTAN] CATUR PERINGKAT UMUR ASEAN 2017 CUNGKIL BAKAT BAHARU


Catur Peringkat Umur Asean 2017 cungkil bakat baharu


Penganjuran Kejohanan Catur Peringkat Umur Asean 2017 yang berlangsung di sini membantu mengembangkan lagi sukan itu selain mencungkil bakat baharu yang boleh diketengahkan untuk bertanding peringkat antarabangsa.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah kerjasama baik antara media, individu dan persatuan catur di setiap peringkat dapat menyemaikan lagi minat terhadap sukan catur terutama kalangan golongan muda.

"Sukan catur telah bertapak sejak 1,500 tahun dahulu...ia menguji kecekapan minda pemain di tahap yang tinggi. Penglibatan pemain muda negara pada kejohanan ini amat membanggakan.

"Ia juga menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai pemain bertaraf profesional yang boleh diketengahkan untuk mewakili negara ke peringkat antarabangsa," titah baginda ketika merasmikan kejohanan tersebut di Hotel Grand Darul Makmur di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Akademi Catur Asean Ignatius Leong, Presiden Persekutuan Catur Malaysia Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Presiden Persatuan Catur Negeri Pahang (PCNP) Hamidah Abdul Hamid.

Dalam masa yang sama, Tengku Abdullah turut berharap supaya lebih banyak sukan indoor bertaraf antarabangsa yang kurang mendapat pengiktirafan sebelum ini diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkenaan.

"Saya berharap kesungguhan yang ditunjukkan dalam penganjuran sukan 'indoor' seperti ini diteruskan untuk sukan seperti pool, snuker dan pelbagai sukan lain.

"Ia memerlukan kerjasama termasuk guru, ibu bapa serta guru untuk mengesan bakat anak masing-masing dan mengembangkan potensi mereka secara profesional melalui latihan intensif dengan pakar yang ada di negara ini," titah baginda.

Tengku Abdullah juga meminta kerajaan pusat dan negeri memberi perhatian kepada penyediaan fasiliti sukan indoor bagi memastikan negara ini dapat menjadi tuan rumah yang baik.

"Adakala kita ada pemain hebat, tetapi kita tidak mempunyai kemudahan lengkap untuk anjur sebarang acara berstatus antarabangsa. Kekurangan ini memerlukan perhatian," titah baginda.

Tiga ratus pemain catur dari seluruh negara Asia berusia 8 hingga 18 tahun menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa itu yang diadakan selama 10 hari dengan mempertandingkan tiga kategori iaitu Klasikal, Rapid dan Blitz.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor