Pages

Sunday, October 15, 2017

LPT 1 : DISKAUN 10 PERATUS CUTI DEEPAVALI


Diskaun 10 peratus cuti Deepavali


Syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), Anih Berhad menawarkan diskaun tol 10 peratus kepada pengguna lebuh raya itu sempena perayaan Deepavali.

Pengarah Eksekutif Anih Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, pemberian diskaun itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya kepada pengguna KLK dan LPT1.

Menurutnya, tawaran diskaun tol itu diberikan kepada semua kelas kenderaan berkuat kuasa pada 18 Oktober, mulai jam 12.01 tengah malam hingga jam 11.59 malam hari yang sama,” katanya.

Sementara itu, Nik Fauzi berkata, Anih Berhad turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan pengguna merancang perjalanan pulang ke pantai timur sempena cuti Deepavali.

“TTA ini disediakan untuk membantu menyuraikan trafik dan mengurangkan kenderaan bertembung pada satu masa khususnya pada waktu puncak di plaza tol, terutama di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak hingga menyebabkan kesesakan.

“Trafik dijangkakan mula sesak di kedua-dua lebuh raya ini bermula pada 17 Oktober dan 22 Oktober dengan kemungkinan tempoh masa antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari (untuk trafik menghala ke Pantai Timur) dan antara jam 5 petang hingga 9 malam (untuk trafik menghala ke arah Kuala Lumpur),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, justeru pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke Pahang pada 17 Oktober 2017 disarankan untuk memilih sama ada memasuki KLK dan LPT 1 pada jam 12 tengah hari hingga 3 petang atau antara 7 malam hingga 11 malam.

“Pengguna yang menuju ke Terengganu dan Kelantan pada tarikh yang sama pula boleh memulakan perjalanan antara jam 6 pagi hingga 10 pagi atau jam 5 petang hingga 8 malam,” katanya.

Menurutnya, pengguna dari Pahang yang akan kembali semula ke ibu kota pada 22 Oktober 2017 boleh memilih sama ada untuk memulakan perjalanan antara jam 6 pagi hingga 10 pagi atau antara 7 malam hingga 11 malam.

“Pada tarikh yang sama, pengguna dari Terengganu pula disarankan untuk memasuki lebuh raya antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari atau antara 8 malam hingga 10 malam, manakala pengguna dari Kelantan boleh menggunakan lebuh raya bermula jam 6 petang hingga 10 malam atau antara 9 malam hingga 12 tengah malam,” katanya.

Beliau berkata, seperti mana musim perayaan sebelumnya, pengguna yang ingin menuju ke pantai timur boleh mendapatkan jadual TTA di laman web Anih Berhad atau mengikuti Twitter @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur.

Nik Fauzi berkata, berkata, Lebuhraya KLK dan LPT 1 telah melaksanakan kaedah pembayaran tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya justeru pengguna dinasihatkan sentiasa memastikan baki kad Touch ‘n Go (TnG) mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

“Perkhidmatan tambah nilai kad di lorong tol akan ditutup sekiranya trafik mulai padat bagi mengelak berlakunya kesesakan di plaza tol.

“Sekiranya ingin membuat tambah nilai atau membeli kad TnG, pengguna boleh melakukannya di Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) di sepanjang KLK dan LPT 1 iaitu di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong, Plaza Tol Karak, Plaza Tol Temerloh dan Plaza Tol Kuantan dari jam 7 pagi-10 malam setiap hari.

“Syarikat turut menyediakan kios layan diri di Hentian Sebelah Gombak (arah barat), Kawasan Rehat & Rawat (RnR) Genting Sempah, RnR Temerloh (arah timur dan barat) dan di Plaza Tol Gambang,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor