Tindakan seorang penduduk mengutip dan menyimpan barang lusuh di rumahnya lebih 10 tahun lalu bukan sahaja membuatkan persekitaran di situ tercemar tetapi turut menjadi punca pembiakan nyamuk aedes di Lorong 18, Taman Tas di sini.
Lelaki berumur 30-an dipercayai suka mengutip dan menyimpan barang lusuh di rumahnya menyebabkan ruang hadapan dipenuhi timbunan sampah.
Plastik, kotak, besi dan pelbagai jenis barangan terbuang memenuhi ruang depan dan belakang rumah.
Penduduk yang ditemui, Aziz Deraman, 48, berkata, sebagai jiran terdekat, keadaan itu membuatkan dia tidak selesa kerana bukan sahaja berbau busuk tetapi juga menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
“Keadaan sudah berlarutan sejak saya tinggal di sini sembilan tahun lalu. Dulu keadaannya tidak seteruk sekarang.
“Saya sudah beberapa kali menegurnya, tetapi dia marah dan tak pedulikan teguran kami di sini,” katanya ketika ditemui, semalam.
Katanya, keadaan itu menyebabkan berlaku kehadiran tikus dan menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes.
“Saya memang bimbang kerana kes denggi di Taman Tas tinggi sehingga ada kes kematian berlaku di lorong kami.
“Pada masa sama, kehadiran tikus yang semakin banyak hingga memasuki rumah amat membimbangkan kerana ia boleh mendatangkan penyakit,” katanya.
Aziz berkata, sebagai jiran, dia amat mengharapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak segera untuk mengambil tindakan terhadap pemilik rumah terbabit.
“Sebelum ini pihak berkuasa ada mengambil tindakan tetapi longgokan barangan kitar semula itu kembali bertambah,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Dato' Fadzilla Salleh berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap pemilik rumah terbabit.
“Ia termasuk membersihkan timbunan barang kitar semula itu kerana ia tak sepatutnya disimpan pemilik rumah terbabit,” katanya.
Sementara itu kawasan Taman Tas yang melibatkan beberapa taman perumahan iaitu Taman Tas Ria dan Taman Tas Permai mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi sepanjang tahun ini dengan 84 kes dan satu kes kematian dilaporkan bulan lalu.
Ahli Parlimen Paya Besar, Dato' Sri Abdul Manan Ismail berkata, jumlah kes yang semakin meningkat itu membimbangkan kerana dikhuatiri merebak ke kawasan lain.
Menurutnya, Taman Tas yang mempunyai kira-kira 4,000 penduduk itu menjadi lokasi wabak denggi utama berbanding kawasan lain.
“Saya lihat isu denggi di sini semakin merisaukan ekoran kawasan ini mempunyai ramai penduduk di samping kawasan perumahan yang lama.
“Saya berharap penduduk di sini mempunyai kesedaran untuk menjaga kebersihan kawasan rumah masing-masing dan memastikan tiada tempat yang boleh menakung air dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada Program Gotong-Royong Memerangi Denggi di Taman Tas, semalam.
Abdul Manan turut menegaskan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penduduk yang degil dan tidak menghiraukan notis amaran dengan menguatkuasakan kompaun.
Beliau berkata, sikap yang tidak bertanggungjawab terhadap kebersihan menyebabkan isu ini sukar diatasi.
“Apabila pihak berkuasa datang buat gotong-royong, penduduk perlulah turun padang. Jangan hanya harapkan pihak lain yang bersihkan kawasan tempat tinggal kita.
“Malah saya juga dimaklumkan semburan pengasapan (fogging) tidak dapat dilakukan kerana kawasan rizab yang disediakan digunakan penduduk untuk menanam pelbagai jenis tanaman,” katanya.
Difahamkan ekoran peningkatan kes dan berlaku kematian akibat denggi di kawasan itu, pejabat kesihatan daerah mengeluarkan arahan penutupan sementara aktiviti pasar malam dan car boot sale di kawasan Taman Tas.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor