Abang kepada kanak-kanak lelaki 10 tahun yang ditemui dirantai pada tong gas, minggu lalu, nekad untuk membela nasib adik-beradiknya.
Ini berikutan pertemuan antara bapa kandung dan adiknya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sini, kelmarin selepas insiden menyayat hati yang menimpa adiknya.
Pelajar berusia 16 tahun itu berkata, pertemuan tersebut memberi kelegaan selain membuatkan dirinya kembali bersemangat.
“Bila dapat tahu ayah dah jumpa adik, saya pun rasa bersemangat nak jumpa. Saya akan cerita dengan dia apa yang terjadi.
“Dalam masa yang sama, sebagai abang sulung saya nak bela nasib adik-adik.
“Sebenarnya saya pun teruja nak jumpa ayah, rasa rindu dah lama tak jumpa. Kalau boleh nak peluk tapi tak sempat sebab dia balik awal,” katanya di sini, semalam.
Dalam pada itu, dia gembira kerana hasrat bapanya untuk mengambil dia dan dua lagi adiknya tinggal bersama di Melaka.
“Bila dapat tahu hal tu, saya memang gembira sangat. Memang baguslah adik-adik duduk sana.
“Tinggal Melaka banyak beza, layanan pun macam lain. Kalau boleh memang nak mereka ke sana dulu, nanti saya pun menyusul," katanya.
Sebelum ini, negara digemparkan dengan penemuan mangsa yang diikat pada tong gas dalam keadaan berbogel serta tidak sedarkan diri di kediamannya yang terletak di Indera Mahkota.
Mangsa dikatakan diperlakukan sedemikian kerana ponteng sekolah dan bapa tiri mangsa yang juga seorang anggota tentera bertindak sedemikian kerana tidak tahan dengan kedegilan kanak-kanak terbabit.
Ini menyebabkan suspek dan ibu mangsa yang berusia 37 tahun ditahan dan direman sejak Jumaat lalu.
Setakat ini, mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan dilaporkan dalam keadaan stabil serta tidak mengalami kecederaan serius.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor