Seorang warga emas bersyukur kerana dia dan keluarga tiada di rumah ketika rumahnya di Kampung Sungai Ular, di sini terbakar, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, rumah didiami Zaharah Ishak, 65, bersama kakaknya, Ramlah, 62, dan anak ketiganya, Khairul Zamri Abu Bakar,32, musnah dalam kebakaran tersebut.
Anak bongsu Zaharah, Suriati Abdu Bakar, 26, berkata, dia mengambil emaknya kira-kira jam 5 petang untuk ke bandar Kuantan sebelum menghantar ibu saudaranya ke rumah kakaknya tidak jauh dari situ.
Menurutnya, abangnya pula keluar memancing jadi kesemua penghuni rumah tiada ketika kejadian.
“Bagaimana pun, kira-kira jam 9.30 malam, saya menerima panggilan daripada jiran memberitahu rumah mak terbakar.
“Memang saya rancang bawa mak tidur di rumah malam semalam. Nasib baik mak tidak ada di rumah ketika kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.
Suriati berkata, dia yang tinggal di kampung yang sama memberitahu, sebaik menerima panggilan jiran, dia bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan rumah.
Rumah Zaharah musnah dalam kebakaran tersebut.
“Jiran memberitahu, api bermula dari bahagian dapur sebelum merebak ke ruang tamu dan semua bilik menyebabkan rumah musnah.
“Semua peralatan rumah tidak dapat diselamatkan namun saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dan semua selamat. Walau bagaimana pun, mak masih dalam keadaan terkejut dengan kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Anuar Hassan berkata, 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira jam 9.51 malam.
Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Dato' Mustaffar Kamal Ab Hamid turut menyampaikan bantuan segera kepada mangsa kebakaran.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor