Kejadian kebakaran yang mengorbankan 23 nyawa di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat, Kuala Lumpur pada 14 September lalu membuka mata pelbagai pihak akan kepentingan mengambil langkah mencegah kebakaran di pusat tahfiz mahu pun madrasah.
Madrasah Darul Uloom Al-Islamiyyah Sungai Salan, di sini tidak berkecuali apabila 330 pelajarnya didedahkan tentang cara sebenar penggunaan alat pemadam api melalui satu latihan kebakaran yang dianjurkan Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Jerantut, semalam.
Bukan itu sahaja, malah pihak bomba turut mengambil langkah membuat pemeriksaan pendawaian elektrik dan bangunan bagi memastikan empat bangunan asrama khususnya dan empat bangunan lain di madrasah berkenaan mengikuti ciri keselamatan ditetapkan.
Ketua Balai Bomba Daerah Jerantut, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Fariz Abdul Rahim berkata, objektif utama pihaknya menganjurkan program berkenaan adalah untuk memberi kesedaran dan pembelajaran kepada pelajar dan tenaga pengajar madrasah itu.
“Kita mahu dedahkan kepada mereka cara-cara menggunakan alat pemadam api dan juga cara-cara untuk memadamkan kebakaran,” katanya.
Tambahnya, hasil dari pemeriksaan ke atas kesemua bangunan madrasah itu mendapati ada beberapa perkara berkenaan keselamatan kebakaran yang perlu penambahbaikan.
“Yang lain semuanya dalam keadaan baik. Jadi kita harap pihak madrasah sama-sama berganding bahu dengan pihak bomba menjayakan kempen kesedaran kebakaran ini,” katanya.
Mudir madrasah berkenaan, Maulana Juhari Mohd Ali Al-Jenderaqi berkata, pelbagai manfaat diperoleh menerusi program terbabit, semalam.
“Walaupun selama ini kita dah ada alat pemadam api yang kita sediakan di setiap bangunan, tapi penggunaan secara betul dan maklumat secara tepat yang kita peroleh hari ini (semalam) tak seperti apa yang ada dalam pengetahuan kita,” katanya.
Beliau justeru itu merakamkan penghargaan atas kerjasama dan usaha yang dilakukan pihak Bomba dan Penyelamat Jerantut dalam menyalurkan maklumat dan sumbangan kepada madrasah itu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor