Pages

Thursday, September 7, 2017

'SAYA KASIHAN LIHAT ADUN PKR DIBULI GUAN ENG'


Mas Ermieyati Samsudin


Shah Alam – Tindakan mempersendakan wakil rakyat wanita disifatkan tidak wajar.

Merujuk kepada tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa membuli Adun PKR, Dr Norlela Ariffin, Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia tidak sepatutnya berlaku.

“Saya kasihan. Beliau menangis beberapa kali dalam dewan. Tak baik Ketua Menteri Pulau Pinang membuli wanita,” katanya ketika Wacana Sinar Siri 49 Menjelang PRU14: Kuasa Undi Wanita di Dewan Karangkraf, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini semalam.

Beliau menjawab soalan penonton mengenai wanita di dalam BN yang dikatakan tidak selamat apabila ada Ahli Parlimen mempersendakan Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini.

“Saya akui perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku. Ia satu dalam 1,000 dan mungkin satu dalam sejuta. Meremehkan wanita. Sebagai pemimpin, saya tak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen berkenaan.

“Tetapi, apa dilakukan oleh Guan Eng itu menyedihkan. Wanita ni insan yang lemah, tetapi kenapa sebagai ketua menteri yang ada kuasa boleh memperlekehkan?

“Sebagai wanita, ia tak sepatutnya berlaku. Kita tak boleh biarkan mana-mana lelaki atau wanita membuli wanita,” katanya.

Beliau berkata, seharusnya tidak hanya wanita yang memperjuangkan hak-hak wanita sebaliknya lelaki juga perlu membuat perkara sama.

Katanya, hanya wanita sanggup menjadi pejuang wanita.

"Lebih ‘walla’ jika lelaki juga memperjuangkan wanita. Mengambil contoh, di Terngganu di mana Exco Wanitanya disandang oleh lelaki. Bagi saya ia terbaik kerana mereka (lelaki) dapat tahu segala masalah wanita, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh.

“Dengan cara ini, mudah lagi exco lelaki ini faham. Tak salah beri mereka pegang jawatan yang berkaitan wanita,” katanya.

Terdahulu, Dr Norlela yang merupakan Adun PKR tidak dapat membendung kesedihan semasa persidangan Dun dua tahun lalu apabila segala luahan yang dibawa untuk pembangunan rakyat di kawasannya tidak didengari kerajaan DAP Pulau Pinang.

Beliau sedih kerana luahan dan persoalannya berhubung pembangunan penduduk kawasan Penanti diabaikan.

"Saya buang masa hampir sejam menunggu jawapan, setiap hari saya tunggu jawapan, tetapi tak jawab, saya buang masa sejam...Seberang Jaya tak jawab, Batu Lanchang tak jawab.

"Kawasan saya kawasan kampung yang terpinggir, saya bawa suara orang kampung... yang mendengar suara saya Padang Kota saja," luahnya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor