PROTES… Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mengejutkan pihak media apabila memecahkan meja dengan penukul di tempat berlangsungnya sidang akhbar beliau.
Menurutnya, tindakan itu sebagai tanda protes terhadap pertumbuhan pesat pusat perjudian di Selangor yang terus berleluasa dan juga sebagai simbolik ‘perang’ untuk menghapuskan premis haram tersebut di seluruh negeri itu.
Jamal turut menyuarakan kebimbangan mengenai lambakan pusat perjudian di Selangor masih bebas beroperasi ekoran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kerajaan negeri gagal menangani gejala tersebut.
“Sebanyak 6,800 buah pusat perjudian dikenal pasti beroperasi di seluruh Selangor dan jumlah itu meningkat kepada 7,200 buah lagi pada cuti panjang sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Raya Aidiladha minggu lalu.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 700 pusat perjudian beroperasi di Ampang sahaja hasil lesen pusat hiburan keluarga yang diluluskan langsung oleh kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) daerah,” kata Jamal.
Beliau menegaskan demikian dalam sidang akhbar di pejabat Gabungan NGO-NGO Malaysia, Ampang dekat ibu negara semalam. Turut hadir ialah Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.
Tahun lalu, Jamal bersama beberapa NGO lain pernah ‘turun padang’ menyerbu pusat perjudian di sekitar Ampang sambil disaksikan oleh wakil media sehingga dia ditahan selama lima hari bagi membantu siasatan pihak polis.
Beliau mendakwa, punca utama PBT mengeluarkan lesen kepada pengusaha pusat perjudian adalah kerana terdapat desakan daripada ahli majlis setempat dilantik oleh kerajaan negeri dan mempunyai agenda kepentingan tertentu.
“Cukup-cukuplah Azmin, gunakan kuasa yang diamanahkan itu untuk menarik balik atau membatalkan lesen-lesen sedia ada kerana ia hanya merosakkan masyarakat dengan aktiviti tidak bermoral,” katanya.
Tambahnya, Selangor merupakan ‘ibu’ kepada segala perjudian dan mencabar Mohamed Azmin ambil tindakan dalam masa dua minggu ini, dan jika gagal, pihaknya tidak akan teragak-teragak untuk membuat tindakan drastik.
“Jika pihak majlis tidak ambil tindakan, dalam waktu dua minggu lagi jangan salahkan NGO bertindak di luar daripada lunas undang-undang,” kata Jamal sambil menambah bahawa isu sosial itu dilihat semakin parah.
“Kami percayakan undang-undang, namun jika undang-undang pejam mata, maka kami yang celik, yang melihat dan mendengar ini punya tanggungjawab dan kewajipan kami selaku pemimpin-pemimpin NGO dalam Selangor.
Jamal turut menambah, satu mesyuarat khusus bersama semua NGO di Selangor yang bernaung di bawah persatuannya akan diadakan dalam masa terdekat untuk merangka strategi bagi membanteras gejala ini.
“Jika pusat judi di Selangor dapat ditumpaskan pasti negeri-negeri lain akan mengikut langkah menutup semua pusat perjudian,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor