Pages

Friday, September 8, 2017

RCI: ANWAR DIGESA JELASKAN JUMLAH KERUGIAN SEBENAR BNM TAHUN 1993


anwar_ibrahim_senyum.jpg


Putrajaya: Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) bagi menyiasat kerugian urusniaga forex Bank Negara Malaysia (BNM) petang tadi menuntut bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan jumlah kerugian sebenar yang dialami bank pusat itu pada 1993.

Pengerusi RCI, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata pihaknya merujuk laporan kewangan 1994 yang menyatakan kerugian BNM pada 1993 adalah RM15.291 bilion.

Namun Anwar berkeras bahawa kerugian BNM pada tahun itu hanyalah RM5.7 bilion seperti yang dibentang di Kabinet.

"Saya telah jelaskan yang surat juruaudit negara terbatas kepada perbincangan dengan BNM. Apa yang kami bawa (bentang) ke Kabinet adalah hasilnya.

"Pada bulan April 1994, kami sebut RM9 bilion. Apa yang kami katakan juga kerugian atas kertas dan 'forward position'. Kerugian RM5.7 bilion kekal di situ.

"Di Parlimen pada 24 September 2012, saya ada ketika menteri kewangan menyebut kerugian pada awal 1990-an adalah RM5.7 bilion seperti mana yang dinyatakan dalam laporan BNM. Ia masih kekal RM5.7 bilion pada 2007," jawab Anwar selaku saksi ke-21 pada prosiding semalam.

Sebelum itu, pegawai pengendali RCI, Julia Ibrahim meminta Anwar merujuk surat bertarikh 1 April 1993 daripada Timbalan Gabenor BNM, Tan Sri Lin See Yan.

Sidek mencelah "Kami ahli panel RCI sudah baca laporan 1992, tidak ada kerugian dalam BNM. Malah dicatatkan kerugian berjumlah RM15.391 bilion pada 1994, itu yang kena terangkan".

"Anda berada di sana sebagai menteri kewangan. Anda menguruskan kewangan negara.

"Anda diberitahu mengenai kerugian sebenar pada tahun itu. Tapi anda pilih untuk tidak memaklumkan Kabinet," katanya kepada Anwar.

Anwar bertegas jumlah kerugian yang dibentangkannya adalah apa yang dilaporkan kepadanya.

"Apa yang perlu ketua jabatan, setiausaha agung perbendaharaan atau menteri lakukan? Berikan pandangan peribadi atau bentangkan laporan yang diberikan?," soal Anwar kembali.

Sidek dan Anwar saling berbalas hujah selama beberapa minit sebelum Sidek berkata beliau yakin bekas timbalan perdana menteri itu tahu lebih daripada itu.

"Saya pasti anda lebih bijak dari itu, Datuk Seri," ujar Sidek.

Seraya Anwar menjawab "Saya melaporkan apa yang telah diaudit. Buka apa yang disebut dalam surat".

Anwar yang juga Ketua Umum PH dilihat mengambil masa untuk meneliti dokumen serta surat-surat beliau semasa menjadi Menteri Kewangan kepada BNM. 

Anwar ialah menteri kewangan dari 1991 hingga 1998 ketika BNM mengalami kerugian tersebut.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor