Pages

Friday, September 8, 2017

KANAK-KANAK JALANAN LAYAK DAPAT PENDIDIKAN BERKUALITI - PM




Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi komitmen dalam menyediakan akses pendidikan kepada kanak-kanak jalanan tanpa mengira latar belakang bagi memastikan masa depan mereka terjamin.

Dalam lawatannya ke Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) di Chow Kit hari ini, Najib berkata, pembinaan sekolah tersebut merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam memberikan akses terbaik kepada golongan tidak bernasib baik itu mendapat pendidikan berkualiti

“SBJK ini satu-satunya sekolah yang unik dibiayai kerajaan bagi kanak-kanak gelandangan, yatim piatu, miskin tegar, mangsa kepada gejala sosial… mereka semua ini berhak mendapat akses kepada pendidkan berkualiti,” katanya semasa melawat tapak projek pembinaan tujuh tingkat bangunan SBJK di Chow Kit petang semalam.

Pembinaan yang menerima peruntukan RM30 juta itu dibiayai sepenuhnya kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan.

Tegas Najib lagi, kerajaan sentiasa menekankan konsep pendemokrasian pendidikan dimana prinsip keadilan sosial yang sama rata dalam memberikan akses pendidikan kepada kanak-kanak di Malaysia.

“Kerajaan yang ada hari ini, kita amat komited untuk memberikan akses pendidikan yang berkualiti… saya selalu sebut tentang konsep pendemokrasian pendidikan, bererti prinsip keadilan sosial, akses pendidina yang berkualiti kepada semua kanak-kanak di Malaysia ini,” ujarnya.

Menurut Najib lagi, tidak ada siapa yang dapat menjangka Chow Kit yang dahulu dianggap bermasalah dan terkenal dengan gejala sosial dapat ditransformasi dengan institusi pendidikan berkualiti.

“Kawasan Chow Kit akan transform, siapa akan sangka? Kawasan Chow Kit kita transform menjadi kawasan dimana pendidikan yang berkualiti dapat disediakan.

“Tiada siapa dapat bayangkan Chow Kit ini akan transform menjadi kawasan yang berpotensi untuk dimajukan,” katanya.

SBJK ditubuhkan pada tahun 2013 hasil inisiatif Kementerian Pendidikan dan buah fikiran Najib sendiri.

Sekolah itu menggunakan pendidikan formal dengan modifikasi kurikulum dan pengoperasian sekolah yang bersesuaian dengan keadaan setempat dan situasi kanak-kanak jalanan dan terpinggir.

Proses pembelajaran yang dijalankan bersifat didik hibur dan fleksibel.

Setakat ini, seramai 150 pelajar terdiri daripada kanak-kanak jalanan bersekolah di SBJK.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor