Kuching - Disebabkan terdesak ketiadaan isu yang boleh dijaja di Sarawak dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang boleh diadakan bila-bila masa dari sekarang, Pakatan Harapan Sarawak yang dipimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan Parti Amanah Negara (AMANAH) telah menjemput Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir ke Sarawak.
Menurut Pengerusi Parti Harapan Sarawak Chong Chieng Jen berkata, kehadiran Mahathir dan beberapa pemimpin tertinggi pembangkang ke Sarawak kali ini diharap dapat menimbulkan isu-isu di Semenanjung untuk dikongsikan kemarahan bersama rakyat Sarawak.
"Kami yakin dia (Mahathir) dapat berkongsi kepada kami (rakyat Sarawak) mengenai kehidupannya sepanjang dalam Barisan Nasional (BN)/UMNO dan sebab mengapa beliau meninggalkan BN/UMNO dan menjadi pemimpin parti pembangkang.
"Ketika ini rakyat menderita di bawah pemerintahan BN dan Najib (Dato Sri Mohd Najib Razak) dan tiada cara lain untuk menyelamatkan Malaysia kecuali menukar kerajaan," katanya dalam satu kenyataan media yang dimuat naik di laman facebooknya.
Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak menjelaskan kehadiran Mahathir di Bandaraya Kuching pada Ahad ini adalah kunjungan pertama beliau sebagai pemimpin pembangkang.
Sementara itu, dalam tinjauan ke atas beberapa rakyat Sarawak yang ditemui ketika diminta mengulas kehadiran bekas Perdana Malaysia itu ke Sarawak itu sebagai pemimpin pembangkang, kebanyakan mereka melahirkan rasal kekesalan dan menyifatkannya sebagai terdesak.
Menurut pesara kerajaan Sulaiman bin Saili, 62 tahun kehadiran Mahathir ke Sarawak sebagai pemimpin pembangkang yang melawan kerajaan BN dianggap mencemarkan imejnya sendiri dan pengkhianat.
"Jika di Semenanjung, imej bekas Perdana Menteri itu sudahpun tercemar berikutan dengan tingkah laku dan penyertaannya dalam pembangkang, dan ini tidak mustahil juga berlaku di Sarawak.
"Saya hidup di sepanjang Mahathir menjadi Perdana Menteri dan melihat sumbangannya kepada negara, tetapi kemasukannya di dalam pembangkang telah membuatkan saya marah dan tidak lagi menganggapnya sebagai negarawan sebaliknya menganggap beliau itu sebagai pengkhianat.
"Adalah lebih baik Mahathir ketika ini berehat dan menjaga cucu," katanya dengan rasa marah apabila mengetahui Mahathir datang ke Sarawak sebagai pemimpin pembangkang yang bersengkongkol dengan DAP.
Manakala, bagi peniaga Sharifah Masitah, 55 tahun melahirkan rasa kesal dan kecewa di atas apa yang dilakukan oleh Mahathir.
"Sepanjang 22 tahun Mahathir sebagai Perdana Menteri, Sarawak masih juga mundur dan kurang pembangunan jika dibandingkan dengan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Kuala Lumpur sedangkan sumber Sarawak seperti minyak dan gas banyak dikaut dan digunakan untuk membangunkan Semenanjung Malaysia.
"Lihat pembinaan Kuala Lumpur City Center (KLCC) di tengah Kuala Lumpur, juga Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sebagainya yang menggunakan wang hasil bumi Sarawak untuk membangunkan Kuala Lumpur, Sarawak masih tetap mundur.
"Berbeza ketika ini di bawah Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri di mana Sarawak diberikan peruntukan yang besar bagi melaksanakan pelbagai pembangunan rakyat seperti Lebuh Raya Pan Borneo yang kini sedang dilaksanakan, Jambatan Batang Sadong, pembinaan Jambatan Batang Lupar (dalam proses) dan projek pembangunan luar bandar. Inilah yang sebenarnya dimahukan rakyat dan bukannya projek besar berbilion ringgit, tetapi tidak memberikan manfaat kepada rakyat," ujarnya panjang lebar.
Abang Ahmad Abang Ili, 27 tahun yang masih menuntut di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam jurusan Sains Sosial (Politik Pemerintahan) melihat kehadiran Mahathir itu sebagai duri dalam daging kepada parti pembangkang (Pakatan Harapan).
"Kemua rakyat di Sarawak mengetahui perangai dan tingkah laku Mahathir menerusi media sosial di mana beliau telah berpaling tadah kepada kerajaan dan BN biarpun pernah 'memenjarakan' Anwar Ibrahim atas kesalahan salah guna kuasa.
"Kini, ramai rakyat bukan sahaja di Sarawak, tetapi juga di Sabah dan Semenanjung Malaysia melihat Mahathir bukan lagi negarawan mahupun 'bapa pembangunan' yang pernah dilaungkan selama ini sebaliknya kini dianggap sebagai pengkhianat bangsa dan perosak negara.
"Apakah pemimpin sebegini yang dimahukan rakyat yang mana sewaktu pemerintahannya terlalu banyak skandal projek yang rugi seperti Perwaja, Kerugian Bank Negara Malaysia, Malaysia Airline System (MAS) dan sebagainya. Lebih malang lagi, kebanyakan projek kerajaan diberikan kepada keluarga dan kenalan rapat hingga suatu tahap membebankan rakyat," katanya yang bercakap berlandaskan fakta.
Malah, ada rakyat yang melihat layanan Mahathir kepada Sarawak semasa menjadi perdana menteri hanya sebagai melepas batuk di tangga kerana Sarawak tidak mempunyai UMNO dan ini tidak memberikan kepentingan kepada dirinya selaku Presiden UMNO ketika itu dalam mengekalkan kuasanya.
Jelas bahawa kehadiran Pengerusi Parti Bersatu Tun Dr Mahathir itu tidak dapat diterima rakyat Sarawak dan rakyat Sarawak juga sentiasa ingat layanannya ke atas Sarawak.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor