Pages

Thursday, September 7, 2017

[KUANTAN] JANGAN ABAIKAN RAWATAN PESAKIT MENTAL


 sakit mental


Penyakit mental kronik atau skizofrenia boleh disembuhkan biarpun terpaksa mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih sepenuhnya.

Malangnya, disebabkan kurang kesedaran dan tak ambil peduli keluarga terhadap golongan itu, ramai dalam kalangan pesakit mental terabai daripada mendapatkan rawatan berkala sepatutnya menyebabkan keadaan mereka menjadi lebih buruk.

Pengasas pusat penjagaan pesakit mental, Pantai Selamat Nursing Home, Datuk Sathiya Seelan Retnam, berkata, berdasarkan 15 tahun pengalamannya menjaga pesakit mental, pengabaian keluarga antara faktor pesakit gagal disembuhkan.

Menurutnya, bagi mereka yang disahkan mengalami gangguan mental, mereka perlu dapatkan rawatan dengan pemantauan doktor pakar selain pengambilan ubat-ubatan ditetapkan secara berjadual dan teratur.

Katanya, sebarang temujanji dengan doktor pada tarih ditetapkan juga perlu dipatuhi supaya keadaan dan perkembangan pesakit dapat dipantau.

“Berdasarkan pengalaman saya, kebanyakan keluarga terutamanya dari luar bandar yang memiliki anak atau saudara yang mengidap masalah mental, mereka kurang ambil berat dalam aspek ini menyebabkan pesakit semakin teruk sehingga ada yang jadi agresif dan boleh bertindak ganas mencederakan orang lain,”katanya.

Menurutnya, pada peringkat pemulaan, kebanyakkan keluarga ambil tanggungjawab menghantar ahli keluarga mendapatkan rawatan di hospital namun masalah timbul bila pesakit dibawa pulang dan diletakkan bawah jagaan mereka.

“Kebanyakkan keluarga pesakit dari luar bandar kurang berkemampuan dan mereka tak mampu tanggung kos ulang alik ke hospital sama ada untuk rawatan susulan atau ambil stok ubat dibekalkan.

“Ditambah dengan kurang kesedaran dan sikap tak ambil peduli, keadaan pesakit jadi makin teruk dan tak terkawal sehingga mereka dipanggil ‘orang gila', ” katanya.

Katanya, pesakit yang tak ambil ubat-ubatan ditetapkan, berisiko mengalami halusinasi yang boleh menyebabkan mereka bertindak diluar batasan seperti mencederakan orang lain.

“Paling kita bimbang, mereka terdorong bertindak di luar batasan seperti mengamuk, menyerang ahli keluarga hingga mengakibatkan kematian dan membunuh diri,” katanya.

Justeru beliau menyarankan keluarga dan masyarakat supaya peka dengan perubahan sikap ahli keluarga, rakan sekerja dan sebagainya sekiranya murung, tidak banyak bercakap atau suka menyendiri.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor