Pages

Thursday, September 7, 2017

[KUANTAN] IMBAS KEMBALI NOSTALGIA DESA


Imbas kembali nostalgia desa


Suasana kanak-kanak mahupun orang dewasa bergelumang dalam lumpur sawah sambil menggagau ikan dan menangkap itik mungkin sukar untuk dilihat pada masa kini namun apabila sesekali aktiviti sedemikian diadakan pasti mencuit hati.

Itu yang dapat dilihat pada program Moh ke Paya sempena Gelombang Tani Nasional (GTN) 2017 yang diadakan di Kampung Pahang Tua di Pekan, baru-baru ini.

Kawasan sawah di situ pula menjadi lokasi aktiviti memancing, menangkap itik dan menggagau ikan yang mendapat penyertaan lebih 1,400 pengunjung tempatan dan luar daerah.

Program julung kali diadakan itu anjuran Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan dengan kerjasama agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta penduduk turut disertai lebih 800 pesawah.

Pengarah IADA Pekan, Muhd Rizal Baharum berkata, sebahagian pesawah mengusahakan tanaman padi di enam skim seluas 5,000 hektar di daerah ini menyertai pelbagai acara bermula jam 11 pagi hingga jam 6 petang.

Menurutnya, antara acara dalam sawah adalah menggagau ikan, pukul bantal atas batang licin, bola tampar, bola jaring dan menangkap itik yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kanak-kanak, wanita dan lelaki.

“Aktiviti lain turut diadakan adalah larian paya, sukaneka, pertandingan mewarna, cabutan bertuah, senamrobik, pameran, ceramah agama dan jualan hasil pertanian oleh usahawan.

“Acara paling menarik adalah acara menggagau ikan apabila penganjur melepaskan lebih 400 ekor ikan puyu, keli dan haruan dalam petak sawah, dan seramai 200 peserta mengambil bahagian”katanya.

Muhd Rizal berkata, suasana lebih meriah apabila acara menangkap itik bermula.

Katanya, peserta setiap kategori berusaha menangkap itik dalam sawah dan hadiah hanya diberikan kepada individu menangkap itik bertanda pada bahagian kaki.

Jelas Muhd Rizal, secara keseluruhan dia berpuas hati dengan sambutan pada program GTN 2017 yang kali pertama diadakan dan pihaknya bercadang untuk menjadikan ia sebagai acara tahunan.

Sementara itu, penduduk Wan Norisah Wan Abdul Malek, 43, berkata, dia yang pertama kali menyertai program sedemikian menganggap ia adalah pengalaman menarik.

Katanya, zaman yang semakin berubah sukar untuk melihat kanak-kanak bermain dengan lumpur sebaliknya lebih banyak menghabiskan masa dengan gajet.

“Saya tak kisah berpanas dan bersemangat menyertai acara memancing dalam tali air yang diadakan selama lima jam dan hasilnya seekor ikan potok berjaya ditangkap.

“Saya bersama suami, Abdul Razak Sulaiman, 53, menyertai pertandingan memancing dalam tali air kerana minat terhadap memancing,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor