Pages

Wednesday, April 5, 2017

PANGGILAN LUAH KEMARAHAN

'Awak tak terasa ke saya marah ni?'



SHAH ALAM - "Awak tak terasa ke dengan apa yang saya marah, apa yang saya maki ni?" demikian cerita seorang wanita yang bekerja di bahagian talian Careline Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengenai pengalamannya membantu wakil atau peminjam.

Kata wanita tersebut, pengalaman sedemikian dianggap sebagai cabaran bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan.

Mengimbau salah satu pengalamannya, seorang suami peminjam PTPTN menghubungi talian tersebut selepas mengetahui isterinya telah disenaraihitamkan sebelum menaiki sebuah penerbangan.

"Saya pujuk dia untuk buat bayaran, saya maklumkan yang PTPTN ada (menawarkan) diskaun semua...," kata wanita berkenaan dalam sebuah video yang dimuat naik oleh PTPTN di Facebook.

Katanya lagi, wakil peminjam tersebut berubah intonasi atau 'mood' dek keberkesanan penerangan yang diberikan olehnya.

"Dia kata, saya dengar suara awak ni pun sangat lembut, OK tak apalah saya bayar habislah," ujar wanita itu.

Dalam video berkenaan, PTPTN menyatakan bahawa talian Careline PTPTN beroperasi selama 7 hari seminggu dari 8 pagi sehingga jam 10 malam.

Dalam video sama, wanita tersebut turut ditanya mengenai kehidupan peribadi dan bagaimana cara beliau menguruskan masa.

"Petugas Careline PTPTN semestinya mempunyai perancangan untuk menguruskan masa bekerja dan keluarga mereka.

"Memang saya maklumkan kepada suami dan orang yang menjaga anak saya, mereka memang memahami waktu bekerja saya, cara saya bekerja.

"Maksudnya saya dan suami saya saling bantu membantu dan saling bekerjasama (dalam menguruskan masa dan keluarga)," jelas wanita berkenaan lagi.

Selain menceritakan pengalaman unik beliau, wanita berkenaan juga mempunyai pesanan terhadap peminjam yang belum mula membayar atau hilang tanpa berita.

"Sebenarnya peminjam ni tahu mereka tak pernah buat bayaran tapi dia malu nak berurusan atau malu nak berbincang dengan PTPTN.

"Macam sekarang ni, Careline PTPTN sudah dibuka sehingga 10 malam, kalau tak sempat hubungi pada waktu bekerja, boleh hubungi waktu malam," saran wanita terbabit.

Dalam video tersebut, PTPTN menyediakan kesediaan mereka untuk membantu para peminjam dalam menguruskan apa jua urusan berkenaan dengan PTPTN, setiap hari.

Sebelum ini, PTPTN turut menawarkan tawaran diskaun untuk peminjam yang membuat bayaran balik bermula 22 Oktober 2016 sehingga 31 Disember 2017.

Diskaun tersebut berupa tiga insentif iaitu insentif diskaun 15 peratus diberikan kepada peminjam yang membuat penyelesaian penuh keseluruhan baki hutang pinjaman, insentif diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

Selain itu, insentif diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji mengikut ansuran pada jadual bayaran balik yang ditetapkan.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor