Pages

Thursday, April 20, 2017

‘NIAT SAYA IKHLAS JAGA DIA'


‘Niat saya ikhlas jaga dia’


Alor Gajah - Jika rakan sebayanya sibuk mengisi borang untuk menyambung pengajian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seorang gadis di sini terpaksa menangguhkan sementara hasratnya itu.

Syuhaila Ramli, 18, berkata, dia terpaksa melupakan seketika hasratnya itu kerana faktor kewangan memandangkan semua adik-beradiknya masih belajar termasuk dua adiknya di sekolah menengah.

Menurut anak keempat daripada enam beradik itu, ibu bapanya hanya bekerja sebagai tukang kemas di balai raya dan surau Taman Sri Sianta, Durian Tunggal.

Lebih menguatkan tindakannya itu, dia kini sedang menjaga seorang pelajar tingkatan empat, Fatin Syuhada Kamal, 16, yang patah tulang paha akibat kemalangan Februari lalu.

Walaupun tiada pertalian darah, melihat kesungguhan ibu bapanya menerima pelajar itu membuatkan Syuhaila terbuka hati menjaga gadis tersebut yang juga pernah bersekolah sama dengannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal.

“Saya hanya kenal dia masa kami sama-sama belajar di sekolah yang sama, tapi tidaklah rapat walaupun ibunya berkawan lama dengan ibu saya.

“Namun kehadirannya di rumah sewa kami pada awal bulan ini, menjadikan hubungan kami bertambah erat. Walaupun tiada pertalian darah, tapi sebagai manusia saya bertanggungjawab untuk menjaganya memandangkan ibu Fatin Syuhada baru menjalani pembedahan di jari kaki,” katanya.

Syuhaila berkata, dia tiada masalah menjaga Fatin Syuhada termasuk menukar lampin pakai buang, menyapu ubat dan mengelap badan gadis itu setiap hari kerana mempunyai pengalaman menjaga ayahnya yang terlantar akibat kemalangan dua tahun lalu. 

Katanya, tiada istilah geli atau takut ketika menjaga orang sakit, termasuk melihat luka mahupun darah, sebaliknya dia sedaya upaya membantu Fatin Syuhada tinggal selesa di rumah sewa mereka walaupun serba kekurangan dengan ahli keluarga ramai.

Tambah Syuhaila, walaupun keluarganya bukan orang senang, pengalaman dua tahun tinggal di sebuah rumah anak yatim di Sungai Udang sebelum ini memberi satu nilai kesyukuran bahawa dalam kesusahan yang dilalui ada juga insan yang lebih susah kehidupannya.

“Saya belajar daripada ibu ayah yang tak meletakkan syarat dalam membantu orang walaupun kami bukanlah keluarga senang.

“Saya harap Fatin Syuhada cepat sembuh dan selepas itu saya akan fikirkan tempat untuk sambung pengajian dalam bidang masakan seperti politeknik,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor