Bachok - Seorang bapa mati lemas ketika cuba menyelamatkan tiga anak serta seorang anak saudaranya yang lemas di Pantai Kemayang petang semalam.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, ketika kejadian, tiga beradik, Nur Shahira Mohd Shamsure, 11; Nur Shafika, 9, Muhammad Adam Daniel, 6; serta sepupu mereka, Nurul Shuhada Wan Mohd Long, 7, mandi di pesisir Pantai Kemayang ketika berkelah bersama keluarga.
Namun, pada jam 5.27 petang empat bersaudara itu dikatakan lemas dihanyutkan ombak sebelum cuba diselamatkan bapa mereka, Mohd Shamsure Mat, 37.
“Mohd Shamsure berjaya menyelamatkan tiga anaknya Nur Shahira, Nur Shafika dan Muhammad Adam. Namun, dia selepas itu dia sendiri lemas dan gagal menyelamatkan anak saudaranya, Nurul Shuhada.
“Mangsa segera diselamatkan oleh orang ramai yang berada di situ namun dia didapati sudah meninggal dunia. Tiga anaknya selamat dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Mayat mangsa dibawa ke hospital di Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada media di lokasi kejadian petang tadi.
Nik Aminuddin berkata, sehingga jam 7 petang mayat Nurul Shuhada masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada jam 7.30 malam.
Namun mereka membuka pusat operasi di tepi Pantai Kemayang untuk pemantauan melalui darat yang turut disertai pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba dan Penyelamat serta Maritim.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor