Pages

Monday, April 3, 2017

KOTA BHARU - RUMAH DIROBOH PIHAK BERKUASA

Rumah kena roboh



KOTA BHARU – Tujuh sekeluarga dari Jalan Gajah Mati, di sini, terpaksa menumpang teduh di rumah saudara apabila rumah sendiri yang didiami sejak tahun 1938 dirobohkan pihak berkuasa, Selasa lalu.

Suri rumah, Jamilah Ismail,45, berkata, dia berada di rumah dan sempat mengangkut barangan penting keluar sebelum kerja-kerja merobohkan rumah tersebut dilakukan, menggunakan jentera berat pada jam 9 pagi.

Katanya, sebelum ini dia ada menerima dua notis pada Oktober 2016 dan 10 Mac lalu daripada pihak berkuasa berkenaan serta sedang dalam proses membawa kes ke mahkamah, bagaimanapun belum sempat kes itu difailkan, pihak berkuasa terbabit sudah datang melakukan operasi.

“Saya ada merayu pada pegawai yang melakukan operasi itu untuk memberi masa sehari lagi untuk saya berpindah, tetapi tidak dihiraukan dan mereka terus merobohkan rumah itu,” katanya ketika ditemui di kawasan sisa runtuhan selepas kerja-kerja merobohkan rumah dibuat.

Jamilah berkata, mereka sekeluarga tinggal sudah lama di rumah warisan nenek moyang mereka itu dan membayar sewa tanah kepada seorang individu dikenali sebagai Madam Lim.

“Saya tidak pasti status tanah ini, tetapi menurut peguam, separuhnya milik persendirian dan separuh lagi milik kerajaan. Saya juga diberitahu kerja-kerja merobohkan rumah saya ini bertujuan melebarkan jalan.

“Paling menyedihkan saya dan keluarga langsung tidak diberi apa-apa pampasan untuk kami berpindah atau mendirikan rumah di tempat lain, sedangkan saya berasal dari Kelantan dan mempunyai kad pengenalan, begitu juga anak-anak saya,” katanya yang berkahwin dengan lelaki Pakistan.

Menurutnya, sepupunya, Zaidah Mohd Istiak, 48, sekeluarga turut menerima nasib sama apabila rumah mereka juga dirobohkan.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor