Pages

Wednesday, April 12, 2017

AHLI POLITIK YANG PECAH-BELAHKAN UMAT ISLAM: PAKAR


Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib


Shah Alam - Usul pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 mendapat banyak reaksi daripada pemimpin dan juga rakyat di negara ini.

Malah dengan penangguhan usul tersebut di Dewan Rakyat baru-baru ini membuatkan pembangkang mendakwa Umno/BN menggunakan isu ini untuk memecah-belahkan Islam khususnya.

Penganalisis politik, Md Shukri Shuib berkata, malah orang ramai tidak melihat perkara ini dari sudut pandang positif dan lebih berasaskan agenda politik semata-mata.

“Perkara ini jadi negatif apabila ada ahli parlimen yang cuba memutar-belit isu ini dan jadikan modal politik mereka.

“Kemudiannya, jadikan ia isu besar apabila ada pemimpin mempromosikan perkara ini dalam bentuk negatif sekali gus meracuni fikiran rakyat,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Sebelum ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa RUU 355 telah memecah-belahkan umat Islam di negara ini.

Menurut beliau, dalam negara yang berbilang kaum ini, setiap pihak seharusnya sensatif terhadap agama-agama lain kerana Islam menekankan agar umatnya menghormati agama lain.

"Jadi kita tak boleh buat sesuatu untuk memaksa orang merasa takut pada Islam itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas Program Hardtalk yang diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, baru-baru ini.

Sokong usaha Pas-Umno

Mengulas lanjut, Md Shukri berkata, pembangkang seharusnya menyokong usaha yang dilakukan oleh Pas dan Umno ini.

“Kita kena lihat perkara yang lebih penting di mana pihak kerajaan beri laluan kepada ahli parlimen pembangkang untuk kemukakan usul. RUU 355, tuntutan yang diperjuangkan kerajaan atau pembangkang?

“Kesediaan Umno untuk bantu Pas merealisasikan perjuangan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah cukup memadai dan harus dipuji,” katanya lagi.

Serangan pada Pas

Mengulas lanjut, Md Shukri berkata, pembangkang menggunakan RUU 355 ini untuk menyerang Pas, bukannya kerajaan.

“Ini semua agenda pembangkang untuk musnahkan Pas, mereka tidak bertanggungjawab pada Pas setelah parti itu keluar dari Pakatan Rakyat.

“Dalam Dewan Rakyat pun, pemimpin yang bangun membantu Abdul Hadi ketika pembentangan usul adalah pemimpin Umno sedangkan pembangkang lain jelas cuba menggagalkan pembentangan tersebut.

“Di sini, kita dapat lihat jelas siapa musuh sebenar Pas, adakah Umno atau pembangkang lain?” katanya.

Hadi bukan boneka Pakatan

Menurutnya lagi, jika Pas kekal bersama Pakatan, Abdul Hadi hanya akan menjadi boneka kepada pembangkang yang dikawal oleh DAP.

“Pas mengambil keputusan yang bijak apabila keluar daripada Pakatan kerana Hadi hanya akan menjadi pemimpin kelas kedua di dalamnya untuk mengaburi umat Islam.

“Hadi bukanlah boneka yang boleh dipermainkan, siapa yang naikkan maruah Pas kalau bukan Umno yang membantu,” tambahnya.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor