Pages

Friday, March 17, 2017

[KUANTAN] GULA-GULA GETAH BERISI DADAH


Gula-gula getah berisi dadah


Polis Pahang berjaya menggagalkan cubaan lima lelaki berusia 15 hingga 30-an menjual pelbagai jenis dadah termasuk syabu, ketamin, ectasy dan eramin 5 yang sebahagiannya dibungkus menyerupai gula-gula getah, 14 Mac lalu.

Dadah bernilai RM35,221.50 yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran pelanggan elit dan pengunjung pusat hiburan di sekitar bandar ini.

Ia dijual hingga mencecah RM250 sepaket dan punca bekalan diperoleh dari Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang, Superintendan Lam Thiam Huat berkata, kelima-lima lelaki terbabit termasuk seorang warga Singapura ditahan ketika serbuan di dua lokasi berasingan.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Taman Maju Jaya, di sini pada jam 3.30 petang dan dua lelaki berusia lingkungan 30an, ditahan.

“Dalam pemeriksaan tersebut, kita berjaya merampas 81.7 gram (g) ketamin, 8.9g syabu, 80.1g (290 biji) pil eramin 5, 54.7g (185 biji) pil ectasy, 16 paket plastik bertulis 'Orange Coming' disyaki dadah seberat 412.8g dan 24 paket plastik bertulis 'Magic Chew' seberat 264g.

“Turut dirampas, dua kenderaan jenis Toyota Carrier dan Proton Saga,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, semalam.

Beliau berkata, penahanan dua lelaki terbabit membawa kepada penangkapan tiga lagi individu iaitu dua remaja 15 dan 16 tahun yang tidak bersekolah dan seorang lelaki berusia 27 tahun di hadapan Medan Selera Lot 66, Jalan Gambut 1, di sini kira-kira jam 7.30 malam, hari sama.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan suspek, kita jumpa 136.9g (490 biji) pil eramin 5, 53.5g (9120 biji) pil estacy, 15.4g (40 biji) ectasy (kapsul) dan 13.8g (25 paket) ketamin.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif methamphetamine dan tiada sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Thiam Huat berkata, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek ditahan reman selama seminggu, sejak kelmarin untuk siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi talian 09-5151999.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor