Tiga lelaki gagal mencuri seekor lembu di Kampung Pantai Sepat, di sini apabila tindakan itu disedari penduduk, semalam.
Saksi, Mohd Amirul Azahar, 24, berkata, ketika kejadian pada jam 6.30 pagi di kebun kelapa itu, suspek dipercayai cuba menyumbat haiwan ternakan berkenaan ke tempat duduk belakang kereta Toyota Vios.
“Saya pada masa itu dalam perjalanan ke Kampung Chempaka untuk pergi tangkap ikan di laut. Dalam satu kilometer dari rumah, saya nampak tiga lelaki sedang masukkan seekor lembu ke dalam kereta jenis Toyota Vios.
“Bila mereka sedar kehadiran saya, mereka lari dalam belukar di kawasan berhampiran,” katanya ketika ditemui di Kampung Pantai Sepat di sini, semalam.
Menurutnya, dia segera memanggil penduduk kampung sebelum mereka berpecah mencari ketiga-tiga lelaki terbabit.
“Kami tak berjaya jumpa mereka. Mungkin mereka lari ke arah Penor. Pencuri itu juga menggunakan ubat pelali untuk melemahkan lembu. Penduduk kampung ada jumpa alat pelali dalam kereta,” katanya.
Mohd Amirul berkata, ia bukan kejadian pertama memandangkan penduduk pernah menemui kepala lembu dan tulang di dalam kawasan semak berhampiran kampung.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.
“Setakat ini pemilik lembu berkenaan masih belum membuat laporan polis dan pihak kita sedang menyiasat pemilik kenderaan tersebut,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor