Pages

Friday, March 24, 2017

[KUANTAN[ DUA BERADIK HIDAP SAKIT KRONIK


Dua beradik hidap sakit kronik


"Selepas suami meninggal dunia sebab sakit jantung tiga tahun lepas, saya terpaksa jalani semua seorang diri," demikian luahan sedih seorang ibu tunggal yang terpaksa menjaga dua daripada tiga anaknya yang menghidap penyakit kronik.

Hasni Mohd Nor, 37, berkata, dua anaknya, Nur Atiqah Ramadhan Mustafa, 7, menghidap penyakit jantung kronik manakala Muhammad Haziq Mustafa, 4, pula menghidap leukemia dan down syndrome.

Menurutnya, Nur Atiqah disahkan mengidap penyakit jantung kekal dan terpaksa bergantung kepada ubat seumur hidup.

“Buat masa ini saya bergantung sepenuhnya dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sumbangan zakat berjumlah RM700,” katanya yang tinggal di Kampung Padang Jaya, Jaya Gading, di sini.

Hasni yang turut menjaga anak sulung, Nurul Fatihah, 12, berkata, Muhammad Haziq terpaksa mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu kerana tiada pakar kanser di Kuantan.

Lebih memeritkan, Hasni perlu berulang-alik ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan hampir setiap minggu untuk mendapatkan bekalan ubat untuk Atiqah, kerana ubat cecair untuk Atiqah tidak tahan lama.

“Saya terpaksa menyewa teksi untuk ke Kuala Terengganu dengan kos RM250 (sehala) setiap kali perlu ke sana.

“Dengan keadaan Haziq yang merupakan anak istimewa ditambah lagi dengan penyakit yang dihidapi, dia bergantung sepenuhnya dengan susu dan memerlukan 14 tin susu sebulan,” katanya.

Hasni berkata, dia sekeluarga kini hanya mendiami rumah pusaka arwah bapanya yang semakin hari semakin usang dan perlu dibaiki.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Hasni, 06112-41-00011224-0.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor