Pages

Friday, March 24, 2017

[JERANTUT] TARIK REMAJA KEMBALI KEPADA AGAMA


Tarik remaja kembali kepada agama


Usaha membendung dan membanteras gejala penagihan dadah yang berlaku terutama di kawasan tanah rancangan Felda bukan mudah, malah masalah itu antara cabaran besar terpaksa dihadapi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dilantik.

Walaupun pelbagai kempen kesedaran bahaya dadah dilaksanakan, sama ada di peringkat sekolah mahupun menerusi aktiviti atau program kemasyarakatan, namun agak mendukacitakan apabila masalah itu terus berlaku dan masih ada terjebak.

Pengerusi JKKK Felda Sungai Retang, Jerantut, Suran Jaafar berkata, masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan penduduk tanah rancangan tidak dapat diselesaikan jika tidak mencari punca yang mendorong kepada gejala tersebut.

Baginya, untuk menangani isu dadah, tumpuan perlu diberikan kepada penagih tegar bagi mengubah tabiat buruk mereka.

Katanya, beliau sendiri mengenal pasti beberapa penagih dadah tegar di dalam Felda Sungai Retang dan berusaha membantu mereka berubah secara berperingkat.

“Felda Sungai Retang ini antara penempatan Felda yang mencatatkan bilangan penagih tertinggi terutama belia, malah gejala ini juga mula menular sehingga kepada pelajar sehinggakan ada murid darjah enam sudah terlibat dadah.

“Melalui JKKK, kita menubuhkan Biro Jawatankuasa Keselamatan dan Anti Dadah bagi menangani isu ini, dan hasil laporan setiap bulan diterima, kita cuba kenal pasti ‘kepala’ yang menjadi punca berlakunya masalah dadah dalam tanah rancangan ini,” katanya.

Suran berkata, setiap kali serbuan ‘kepala’ atau penagih dadah tegar di kampung itu berjaya diberkas dan untuk seketika kegiatan itu reda, namun sebaik mereka dibebaskan dan pulang ke kampung, masalah dadah kembali menular.

“Adalah dalam tujuh ‘kepala’ yang kita dah kenal pasti. Jadi, cara untuk menyelesaikan masalah dadah ini adalah dengan membawa mereka mendekatkan diri kepada aktiviti keagamaan,” katanya.

Menurutnya, salah seorang saudaranya yang pernah terlibat dadah berjaya dipulihkan selepas dia mendekati agama, dengan mengikuti kumpulan tabligh mempelajari ilmu dan menyampaikan dakwah sehingga ke seluruh negara.

“Dari situ, saya melihat kemungkinan dengan menghantar penagih ini mengikuti kumpulan tabligh akan menyembuhkan mereka daripada najis dadah.

“Namun, itu semua masih dalam peringkat perancangan. Sebagai permulaan, mungkin kita lantik mereka jadi bilal masjid, kemudian akan mencari peruntukan hantar mereka mengikut kumpulan tabligh mencari ilmu dan menyampaikan dakwah ke negara luar,” katanya.

Beliau berharap, agar mana-mana agensi yang menyediakan perkhidmatan sedemikian dapat membantu penagih tegar yang ada di tanah rancangan itu.

Menurutnya, kini pihak JKKK juga telah menyediakan peluang pekerjaan kepada belia agar mereka tidak terjebak dengan gejala tidak sihat itu.

“Saya akan berbincang dengan beberapa kumpulan tabligh dan akan mencari peruntukan untuk perbelanjaan sekiranya perlu menghantar mereka ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Tembeling Tengah, Zulkefly Zaadun Zabir berkata, pihak pimpinan setempat akan berusaha mempergiatkan lagi kempen kesedaran bahaya dadah dalam kalangan generasi muda khususnya pelajar agar mereka sedar bahaya dadah, membenci dan memerangi dadah.

“Ibu bapa juga harus memainkan peranan penting membentuk cara hidup sihat tanpa dadah di dalam rumah dengan mengambil berat setiap ahli keluarga secara total, sekali gus menjadi sebuah keluarga harmoni, beriman dan menyintai masjid.

“Sekiranya ada ahli keluarga terlibat dadah, berusaha dan saling bekerjasama membantu mereka untuk pulih daripada masalah dadah. Oleh itu pentingnya untuk mewujudkan amalan keluarga bahagia,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor