Pages

Friday, March 10, 2017

DAPATKAN PENGESAHAN BERTULIS, ELAK JADI KAMBING HITAM


Noh Omar


Putrajaya - Pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dinasihatkan mendapatkan pengesahan secara bertulis daripada pihak atasan yang memberi arahan agar tidak dijadikan 'kambing hitam' sehingga didakwa terbabit rasuah, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Sebagai barisan hadapan di peringkat tempatan yang memberi perkhidmatan perbandaran, beliau berkata pegawai PBT khususnya bahagian penguatkuasaan perlu sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP). 

"Sebagai pegawai kerajaan, kita memang kena ikut arahan pihak atasan namun dalam hal ini arahan tersebut mesti dalam bentuk hitam dan putih.

Sekiranya berlaku sesuatu (siasatan Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia atau Jabatan Audit Negara), pegawai tersebut selamat kerana terdapat bukti hitam dan putih ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada Datuk Bandar dan Yang Dipertua (YDP) PBT di sini semalam.

Noh berkata, kesemua PBT terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing dan kementerian itu akan menyelaras PBT dari segi penyeragaman dasar dan perundangan, memberi khidmat nasihat termasuk khidmat nasihat teknikal dan penyaluran peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan. 

Sementara itu, Noh menyaran agar PBT sentiasa memudah cara, proaktif dan responsif dalam memastikan pembangunan yang rancak unutk meningkatkan daya saing negara di peringkat global.

Beliau mahu PBT khususnya di negeri-negeri pembangkang agar mempercepatkan projek-projek Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat diutamakan.

"Saya berharap perkara ini tidak dipolitikkan. Hak dan kepentingan rakyat tidak harus dilewat-lewatkan," katanya.

Majlis amanat itu merupakan pertemuan sulungnya bersama PBT seluruh negara.

Terdahulu, YDP dan Datuk Bandar PBT mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa bagi membincangkan Kebenaran Merancang di PBT.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor