Puchong - “Bagi RM10 atau saya terbalikkan meja meniaga ini,” demikian ugut dua samseng kepada penjaja pasar pagi Taman Kinrara Seksyen 1, di sini, dalam kejadian pagi Ahad lalu.
Difahamkan, ia insiden kali ketiga dan penjaja di pasar tersebut mendakwa mereka dilanda kegelisahan dengan kegiatan meminta wang perlindungan yang berlaku sejak tahun lalu.
Peniaga ikan, Chia, 43, berkata, dua lelaki berusia lingkungan 20-an itu datang ke lot gerainya kira-kira jam 6 pagi dan meminta wang RM10.
Lelaki terbabit mendakwa mereka ‘menjaga’ kawasan itu dan bayaran dikutip juga sebagai kos pembersihan di pasar berkenaan.
“Mereka datang buat bising dan kacau ketika kami sibuk buat persiapan nak buka gerai, nak tak nak saya tepaksa bagi juga RM5,” katanya.
Peniaga baju, Ho, 60, berkata, dia akur dengan permintaan dua lelaki berkenaan kerana bimbang barangan jualannya dirosakkan mereka.
“Saya tengok dua-dua macam orang lalok dan mabuk… saya takut dan bayar duit diminta kerana tak mahu mereka terus mengganggu.
“Saya ni dah tua kalau berlaku apa-apa macam mana nak lawan,”katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 14 Dun Kinrara, Lawrence Chiew yang menerima aduan daripada peniaga memberitahu kedua-dua lelaki itu mengutip wang dengan memberi alasan kawasan itu di bawah penjagaan mereka.
Katanya, lelaki itu juga memberitahu wang dikutip bagi membiayai kerja-kerja pembersihan kawasan pasar selepas tamat waktu perniagaan.
“Mereka kutip RM10 setiap gerai, tapi saya difahamkan hanya 10 penjaja yang bayar. Peniaga tu bayar kerana rimas diganggu suspek terbabit. Ada pula sebahagian penjaja yang bertindak menyembunyikan diri bila nampak kelibat dua lelaki itu.
“Penjaja dakwa mereka takut kerana kedua-dua samseng itu ugut nak terbalikkan meja perniagaan jika permintaan tak dituruti,”katanya penjaja membuat laporan di Balai Polis Kinrara, semalam.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor