Kuala Lumpur : Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave mengakui sudah berusaha memujuk penyanyi popular era 1980-an Ben Nathan yang kini hidup sebagai gelandangan keluar dari kehidupan sekarang.
Bagaimanapun, usaha Dave itu gagal apabila Ben yang popular menerusi lagu Stanza Sepi Sekeping Hati itu menolak dengan pelbagai alasan.
"Saya adalah kawan kepada Ben. Kalau nak tahu saya berjumpa dengannya tiga kali dalam tempoh enam bulan lalu di beberapa lokasi sekitar ibu negara.
"Setiap kali berjumpa, saya mempelawanya untuk pergi makan dan membeli pakaian baru, tetapi dia menolak dan mengatakan kehidupannya baik-baik saja," katanya.
Terdahulu, video seorang lelaki dipercayai Ben Nathan yang dirakam seorang lelaki tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu.
Dalam video berdurasi 33 saat itu, Ben yang berambut panjang serta dalam keadaan kusut-masai bertutur dalam bahasa Inggeris mengatakan dia 'out station' selama tiga minggu di Pulau Pinang.
Ketika ditanya sama ada masih aktif menyanyi, Ben mengakuinya dan mendakwa akan menjalani proses rakaman lagu di Jakarta, Indonesia. Dia juga mendakwa mendapat tajaan daripada seseorang di Pulau Pinang.
Menurut Dave, dia pelik kerana setiap kali berjumpa Ben selalu memberi alasan mengatakan dirinya sibuk dan perlu menghadiri mesyuarat serta proses rakaman lagu.
"Ramai yang mengatakan dia kurang siuman dan sebagainya tetapi dia masih kenal saya. Malah, dia memanggil saya dengan nama Islam saya iaitu Irwan Shah Abdullah.
"Sekiranya betul Ben mengalami masalah mental, dia perlu dibantu segera," katanya.
Disebabkan itu, Dave kini dalam perancangan untuk menulis surat kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu Ben.
Menurut Dave, abang Ben juga pernah berusaha untuk memujuk dia kembali ke pangkuan keluarga tetapi tidak berjaya.
Dave juga berpesan kepada masyarakat supaya berhenti daripada melemparkan segala tuduhan dan membuat spekulasi yang tidak betul mengenai keadaan Ben sekarang.
"Macam-macam saya dengar cerita mengenai Ben. Saya pun tak pasti sama ada itu semua betul atau pun tidak. Kita sebagai masyarakat yang diberikan akal sempurna berhenti daripada terus menghakimi seseorang. Memang tak adil untuk menuduh dia dengan pelbagai gelaran," katanya.
Dave juga menjelaskan sepanjang mengenali Ben, lelaki itu tidak pernah berkahwin.
Difahamkan, Ben sering berkeliaran di sekitar Pasar Seni, di sini, dan kerap mengunjungi salah sebuah restoran mamak di situ.
Bagaimanapun, usaha Harian Metro untuk menjejakinya di situ dan kawasan sekitarnya hari ini tidak berjaya kerana dia tidak kelihatan di situ.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor