Pages

Friday, February 10, 2017

[ROMPIN] 199 NYAWA JADI KORBAN


199 nyawa jadi korban


Buaya merupakan reptilia ganas namun insiden berdarah melibatkan haiwan itu jarang didengari di Semenanjung Malaysia.

Kurang agresif dan tidak seganas buaya di Sarawak mungkin antara andaian berlegar di fikiran, atau benarkah kata orang terdahulu, reptilia itu dijinakkan oleh bomoh buaya.

Bagaimanapun peristiwa berdarah di Sungai Endau, Rompin yang menjadi sempadan pemisah antara Pahang dan Johor di bahagian selatan negara masih diceritakan dari satu generasi ke satu generasi.

Menurut cerita, buaya di Sungai Endau mengganas dan meragut 199 nyawa namun tiada laporan rasmi mengenainya disebabkan kekangan urus tadbir ketika itu.

Disebabkan belum wujud jalan darat, perahu menjadi pengangkutan utama penduduk untuk ke Pekan Endau.

Sungai Endau terus menjadi laluan utama dilalui perahu besar boleh memuatkan 10 orang yang menbawa senjata bersama bagi mengelak daripada menjadi mangsa serangan buaya. 

Perang Jepun-Inggeris

Peristiwa kira-kira 18 tahun lalu itu masih lagi segar dalam ingatan Ghazali Abdullah.

Warga emas berusia 64 tahun yang lebih mesra dipanggil Pak Awang itu merupakan antara orang lama di Kampung Pianggu.

Katanya, moyangnya sendiri antara yang menjadi korban sang bedal itu.

Pak Awang berkata, dia tidak pernah melupakan kisah yang disampaikan oleh orang tuanya dan saudara-maranya itu.

Menurutnya, peristiwa berdarah di Sungai Endau itu berlaku ketika perang Jepun dan Inggeris sekitar 1942.

Katanya, ketakutan penduduk berakhir pada 1960 selepas buaya yang mengganas tersebut berjaya ditangkap dan dibunuh oleh seorang bomoh buaya.

Pak Awang berkata, hanya seorang mangsa berjaya melepaskan diri dari cengkaman reptilia itu apabila sempat menikamnya dengan serampang.

Difahamkan, terdapat dua versi kisah yang mungkin menjadi punca buaya terbabit mengganas.

Dikatakan berlaku perlawanan antara bomoh dengan buaya ketika itu dan versi satu lagi menceritakan bahawa haiwan itu biasa memakan bangkai askar Inggeris dan Jepun yang mati dalam peperangan.

Buaya hebat, pegang janji

Mungkin ada benarnya cerita versi kedua itu kerana Sungai Endau ketika itu dipenuhi mayat-mayat askar yang tidak diuruskan dan terbiar begitu sahaja, reput seterusnya hilang dalam sungai.

Pak Awang berkata, moyangnya yang bernama Awang Kechik juga antara yang menjadi mangsa.

“Arwah kena baham ketika berkayuh perahu, terus hilang dan tak dijumpai. Buaya ini dikatakan hebat.

“Ada kisah ia tangkap orang duduk belakang sekali dalam perahu hinggakan dua yang di depan tak sedar. Ia bawa mangsa ke tengah sungai dan angkat mangsa dengan mulutnya sebelum masuk kembali ke dalam sungai...caranya begitu mungkin nak tunjuk ia dah dapat tangkap orang,” katanya.

Disifatkan sebagai bukan makhluk biasa, bekas Ketua Kampung Pianggu itu berkata, buaya adalah haiwan misteri yang boleh berjanji dan seolah-olah berkomunikasi dengan bomoh.

Tidak tahu bahasa apa atau ilmu digunakan, buaya itu dikatakan akan menunggu di lokasi dijanjikan, kebiasaannya untuk berlawan.

“Ada masa buaya muncul tapi bomoh tak dapat berlawan sebab ada keluarga bersama, jadi bomoh minta jumpa di mana-mana sementara dia hantar keluarganya pulang, memang buaya itu tunggu di tempat dijanjikan, selepas itu baru mereka berlawan,” katanya.

Tujuh biji batu dalam pundi

Peristiwa berdarah yang agak panjang itu berakhir pada 1960 selepas buaya yang mengganas berjaya ditangkap dan dibunuh oleh seorang bomoh buaya yang dikenali Pak Lang Sireh, berasal dari Kampung Sarang Tiong.

Pak Awang berkata, buaya itu dibawa ke Endau selepas ditangkap dan saiznya amat besar, hampir sama dengan lebar feri kerana tangan buaya itu dikatakan terkulai di kiri kanan feri sebelum badannya dibelah bagi melihat apa yang terkandung dalam perutnya.

“Dalam perut buaya ini dikatakan ada dua pundi, salah satunya berisi emas atau besi manakala yang satu lagi berisi batu. Ketika itu dijumpai tujuh biji batu.

“Jumlah batu itu membawa maksud buaya itu telah memasuki tujuh sungai besar kerana setiap kali memasuki sungai besar, ia akan menelan sebiji batu sebagai tanda,” katanya.

Selepas peristiwa itu berakhir, hingga kini tiada lagi kisah buaya mengganas di Sungai Endau walaupun dikatakan masih ada seekor yang bersarang di Teluk Merit.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor