Kota Bharu - “Mat Tere kata dia sihat, baru lepas makan sarapan roti canai dan maklum kepada saya dia nak balik KL (Kuala Lumpur),” demikian kata Ketua Pemuda Umno Kelantan, Mohd Azam Ismail.
Azam berkata, biarpun dia dapat bercakap seketika dengan Mat Tere atau nama sebenarnya, Muhammad Zul Apis Baharum, 29, yang ditangkap polis berikutan dikatakan menjadi ‘mangsa keadaan’ video tular menghina Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Setelah tiga hari melepasi isu Mat Tere ditangkap, saya melahirkan rasa terima kasih kepada kawan-kawan yang simpati terhadapnya, apa-apun kita menghormati undang-undang dan yakin pihak berkuasa melakukan yang terbaik dalam melaksanakan tanggung jawab mereka.
“Sebentar tadi, saya dihubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan dapat bercakap dengan Mat Tere menerusi telefon, katanya dia sihat, dia baru lepas sarapan roti canai dan dia nak balik KL sebab 'nak hadir mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)',” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.
Mohd Azam berkata, perbualan Mat Tere begitu bersahaja seolah-olah menggambarkan dia orang penting dalam parti Umno, sedangkan pemuda itu sebenarnya lurus bendul dan dari golongan istimewa.
Tambah Mohd Azam, dalam isu berkenaan, Mat Tere dipercayai dipergunakan dan video tersebut bukanlah yang pertama dibuat dan ditularkan.
“Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang Ketua Pemuda Umno Bahagian Ketereh untuk terus membantu Mat Tere kerana dia adalah rakyat Parlimen Ketereh.
“Sejak awal penangkapan sehinggalah ke hari ini, saya dan rakan-rakan lain tidak putus berurusan dalam hal berkaitan,” katanya.
Katanya, hari ini, beliau akan bersama rakan serta ahli keluarga Mat Tere ke Johor Bahru untuk berurusan dengan pihak berkuasa untuk membawa balik pemuda itu ke Kelantan.
“Saya mohon rakan-rakan mendoakan agar dipermudahkan segala urusan di sana nanti dan kami menyeru supaya pihak polis menyegerakan tangkapan terhadap dalang di sebalik rakaman dan voral tersebut,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor