Adun Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff mencadangkan agar sebuah kompleks pemindahan banjir serbaguna dibina bagi mengatasi masalah mangsa banjir yang enggan berpindah di Kampung Temai.
Beliau berkata, kawasan berkenaan yang mempunyai hampir 1,200 penduduk membabitkan 270 keluarga sering dilanda banjir kerana berdekatan Sungai Pahang.
Menurutnya, kebanyakan rumah dibina bertiang tinggi sebagai persediaan dan hanya kawasan luar rumah dan jalan raya yang akan ditenggelami air sekiranya bencana banjir berlaku terutama pada musim tengkujuh.
"Hasil tinjauan dan lawatan, rata-rata menyuarakan pandangan supaya dibina sebuah kompleks serbaguna yang lengkap dengan kemudahan untuk dijadikan pusat pemindahan.
"Ada mangsa banjir yang enggan berpindah kerana merasakan tidak selesa berada di pusat pemindahan sedia.
"Maka saya sarankan agar kerajaan mempertimbangkan cadangan pembinaan kompleks supaya semua penduduk sedia berpindah bila banjir berlaku,"katanya ketika menyampaikan bantuan barang keperluan kepada mangsa tidak berpindah di Kampung Temai, semalam.
Mohammad Fakhruddin berkata, tapak untuk pembinaan kompleks berkenaan sudah dikenal pasti dan kemudahan itu dapat dimanfaatkan untuk aktiviti kemasyarakatan serta riadah sukan selepas musim banjir.
Menurutnya, pengurusan banjir dapat dilakukan secara teratur di kompleks serbaguna itu termasuk berkaitan aspek kebersihan dan penyediaan makanan.
"Buat masa sekarang, walaupun ada mangsa tidak berpindah tetapi kita tetap akan bagi bantuan menaiki bot ke rumah mereka.
"Namun, jika semuanya berada di pusat pemindahan.. ia akan mempermudahkan penyaluran bantuan dan pengurusan lain.
"Dijangkakan air banjir di kampung ini akan surut sepenuhnya dalam tempoh seminggu lagi,"katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor