Mangsa banjir yang enggan berpindah ke pusat pemindahan diminta lebih bertimbang rasa dan mematuhi arahan berpindah, pada masa akan datang.
Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, beliau kesal ada penduduk engan berpindah walaupun diminta berbuat demikian setelah paras air hampir memasuki kediaman.
Menurutnya, mangsa-mangsa banjir ini enggan berpindah kerana mahu terus berada di rumah walaupun dipujuk serta diarahkan pihak berkuasa.
"Sikap demikian sangat dikesalkan kerana jika air banjir terus meningkat seperti banjir besar pada tahun 2014 lalu ia akan menyulitkan pihak penyelamat dan penyelaras bantuan untuk bertindak.
"Tindakan pasukan bantuan dan penyelamat yang mengarahkan mangsa banjir pindah adalah bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku jika berlaku banjir besar selain mengelakkan kejadian lemas ataupun dihanyut banjir,"katanya kepada pemberita ketika mengiringi Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fadh Muadzam Shah Sultan Haji Ahmad Shah menyertai program bergotong royong membersih rumah, balairaya dan sekolah di kampung Sekara dekat Chenor, semalam.
Turut sama Adun Chenor, Datuk Mohd Ariffin Awang Ismail dan Pegawai Daerah, Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha.
Dalam kunjungan tersebut, Tengku Arif perkenan mencemar duli untuk turut sama-sama bergotong royong membersihkan kawasan pasca banjir bersama rakyat jelata.
Ismail berkata, tidak menafikan keselesaan antara punca utama mangsa banjir enggan menghuni pusat pemindahan banjir, kerana mangsa banjir terlalu ramai, bagaimana pun katanya mangsa banjir perlu bertimbang rasa kerana orang lain turut menghadapi masalah yang sama.
"Setiap mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan tidak dibiarkan malah dijaga dengan baik serta disediakan makanan, dijaga kesihatan, kebajikan dan sebagainya. Tujuan buka penempatan adalah untuk langkah kawalan keselamatan dan mengelak sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku, "katanya.
Ketua Umno Bahagian Maran itu selanjutnya berkata, walaupun banjir itu kecil atau besar, perlu bagi mereka terbabit banjir berpindah kepusat pemindahan kerana soal keselamatan perlu diutamakan.
Menurutnya, kerajaan tidak mahu adanya sebarang masalah terutamamnya kemalangan dimusim banjir kerana jika ia berlaku akan menyusah semua pihak.
Justeru masyarakat diminta bertimbang rasa dan menyambut baik cadangan pemindahan ke lokasi selamat sekiranya diarahkan berbuat demikian.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor