Bagan Serai - Nekad menyelamatkan bumbung rumah, seorang lelaki nyaris diterbangkan ribut kencang yang melanda rumahnya di Kampung Parit Gabis Bawah, di sini gara-gara cuba berpaut pada bumbung rumah yang tercabut lewat petang kelmarin.
Selain itu, kejadian bencana alam itu turut menyebabkan kerosakan serius pada dua lagi rumah di kampung sama, manakala tambahan lima rumah mengalami kerosakan kecil.
Mangsa kejadian, Abdul Hamid Janit,57, berkata, lebih kurang jam 7 malam, dia sedang berehat di ruang tamu rumah bersama ahli keluarga lain sebelum mendapati keadaan angin kencang di luar rumah menyebabkan sebahagian bumbung dapur terselak.
Bimbang bumbung rumah diterbangkan angin kencang, Abdul Hamid segera meluru ke dapur dan bertindak memegang sebahagian bumbung terselak bagi menahannya daripada tercabut sepenuhnya sehingga angin reda.
"Saya bersendirian memegang bumbung yang sedikit tercabut, namun beberapa minit kemudian keadaan angin bertambah kencang seterusnya bertukar menjadi ribut.
"Ketika itu, saya dapat merasakan tarikan angin pusaran ribut semakin kuat dan mendapati bumbung dipegang bakal terbang bersama saya pada bila-bila masa.
"Mujur jeritan salah seorang anak meminta saya melepaskan pautan pada bumbung dapur menyedarkan dan menyelamatkan saya daripada turut diterbangkan ribut," katanya sewaktu menerima kunjungan ziarah Adun Gunung Semanggol, Mohd Zawawi Abu Hassan dan Pasukan Bertindak Kecemasan(ERT) Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan Serai di sini, semalam.
Turut hadir Adun Selinsing, Husin Din dan Ketua Kampung Parit Gabis, Ahmad Fauzi Arshad.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor